Pekerja kontraktor tertimbus hingga paras kepala
KLANG - [DIKEMASKINI] Seorang pekerja kontraktor berdepan detik cemas apabila tertimbus hingga paras kepala dalam kejadian di Taman Industri Meru di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.35 petang itu, mangsa berusia 22 tahun sedang melakukan kerja pemasangan kabel berhampiran longkang besar yang dipenuhi air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian berlaku akibat pergerakan tanah ketika mangsa berada dalam sebuah lubang yang dikorek.
"Keadaan itu menyebabkan mangsa tertimbus sehingga menutupi paras kepala pada kedalaman dianggarkan 2.4 meter.
"Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 5.08 petang, seterusnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk rawatan lanjut, " katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun dilaporkan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, seramai 11 anggota pelbagai pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!