JAS siasat fenomena ikan mabuk di Sungai Kulim
KEPALA BATAS - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan siasatan di Sungai Kulim berdekatan Kampung Tun Sardon, Ara Kuda di sini pada Jumaat berhubung fenomena ikan mabuk di sungai berkenaan.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, siasatan dilakukan pegawainya sebaik menerima laporan daripada penduduk setempat mengenai kejadian itu dan mendapati terdapat ikan mati hanyut pada permukaan sungai.
Beliau berkata, sampel air Sungai Kulim juga telah diambil di tiga lokasi untuk dianalisis.
"Siasatan lanjut diteruskan pada keesokan harinya untuk mengenal pasti punca-punca yang berpotensi mencemarkan Sungai Kulim, malah pemantauan dron telah digunakan bagi meninjau kawasan sekitar lokasi kejadian.
"Siasatan di bahagian hulu Sungai Kulim daripada lokasi kejadian ikan mati turut dijalankan dengan menyusuri sungai sehingga memasuki sempadan Kulim, Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sharifah Zakiah yang turut menyertai pasukan siasatan itu berkata, pihaknya turut menemui ikan mati terapung pada permukaan air Sungai Kulim di sekitar Lunas, Kulim, Kedah.
Beliau berkata, memandangkan siasatan turut menemui ikan mati terapung pada permukaan air Sungai Kulim di dalam negeri Kedah iaitu di bahagian hulu dari lokasi yang diadukan, siasatan turut melibatkan pasukan JAS Kedah.
Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan JAS Cawangan Kulim, tiada punca industri yang berpotensi mencemarkan sungai terbabit.
"Pelepasan efluen terawat dari kawasan industri Kulim adalah disalurkan ke Sungai Seluang dan kemudiannya ke Sungai Jarak serta tidak memasuki Sungai Kulim.
"Berdasarkan data yang dicerap oleh stesen pengawasan automatik di Sungai Kulim, Pulau Pinang yang berada berdekatan sempadan Kedah, pada hari kejadian didapati kandungan oksigen terlarut menurun secara mendadak," katanya.
Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, penurunan itu berlaku selari dengan peningkatan kandungan pepejal terampai.
"Peningkatan pepejal terampai ini berkemungkinan disebabkan oleh hujan lebat di hulu sungai yang meningkatkan air larian permukaan (surface run off) di kawasan hulu sungai," katanya.
Tambah beliau, penurunan oksigen secara mendadak itu mungkin memberi impak kepada spesies ikan yang sensitif.
Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, JAS Pulau Pinang akan meneruskan kerjasama dengan JAS Kedah dalam mengawal pencemaran merentasi sempadan.
Menurutnya, kejadian itu akan turut dimaklumkan kepada pihak Lembaga Sumber Air Kedah untuk tindakan sewajarnya.
"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti yang tertakluk dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Justeru itu, orang ramai disarankan supaya tidak melakukan kesalahan yang menyebabkan berlakunya pencemaran air untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!