'Tiada lesen memandu, IC bawa kekasih'
KAJANG - Seorang remaja lelaki ditahan kerana bukan sahaja menggunakan motosikal yang diubah suai, malah didapati tiada lesen memandu dan gagal mengemukakan kad pengenalan.
Kesalahan remaja berusia 19 tahun itu dikesan dalam Operasi Khas Bersepadu Kesalahan Bunyi Bising di Plaza Tol Batu 9 di sini pada Isnin.
Pemeriksaan mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC itu didapati menggunakan ekzos bising selain tiada brek belakang.
Malah, motosikal itu juga didapati memiliki beberapa saman lain.
Ketika ditahan, remaja itu mendakwa dia dalam perjalanan dari Ampang ke Kajang untuk menghantar teman wanitanya berusia 17 tahun ke tempat kerja.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bermula pada jam 2 petang itu bertindak menyita tujuh buah motosikal atas kesalahan pengubahsuaian kenderaan.
"Sebanyak 107 saman dikeluarkan polis, selain JPJ (121 saman) dan JAS dengan tiga kompaun," katanya.
Mengulas lanjut, Azman berkata, bermula 1 Mac lalu sebanyak 577 saman dikeluarkan menerusi operasi terbabit dengan 414 motosikal telah disita polis.
Sepanjang operasi, katanya, terdapat pemilik gunakan alasan motosikal lebih menarik dan mudah pemandu lain mengetahui kehadiran mereka jika menggunakan ekzos bising.
Namun, katanya, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan tindakan mereka melakukan pengubahsuaian.
"Operasi ekzos bising ini mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat setempat dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal agar tidak melakukan pengubahsuaian sesuka hati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!