Pearly-Thinaah makin bersemangat
KEJAYAAN meraih gelaran pertama siri Jelajah Dunia di Terbuka Switzerland pada Ahad ternyata meningkatkan keyakinan dan motivasi beregu wanita muda negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Pasangan sedang meningkat naik itu muncul beregu wanita pertama negara meraih kejuaraan Jelajah Dunia sejak dua tahun lepas, setelah ‘kakak senior’ mereka - Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean melakukannya dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi pada November 2018.
Berbekalkan kejayaan yang diraih, Thinaah berkata, mereka bakal berdepan lebih banyak kejohanan akan datang termasuk Seluruh England pada 17-21 Mac dengan dengan keazaman yang lebih tinggi.
“Ini adalah kejayaan hebat buat kami berdua kerana ia membantu meningkatkan keyakinan dan motivasi untuk berhadapan banyak lagi kejohanan pada masa depan,” katanya menerusi video dimuat naik di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pasangan remaja negara itu mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain wanita Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Switzerland selepas mengalahkan pilihan ketiga kejohanan dari Bulgaria pasangan adik-beradik Gabriela-Stefani Stoeva 21-19, 21-12 pada final pertama mereka dalam siri Jelajah Dunia di St Jakobshalle, Basel.
Terdahulu, Thinaah, 23, dan Pearly, 20, menyingkirkan Mei Kuan-Meng Yean 10-21, 21-14, 21-16 di peringkat separuh akhir pada Sabtu.
Sementara itu, Pearly yang juga bekas pemenang pingat perak Kejohanan Badminton Remaja Dunia berharap dapat meneruskan momentum kemenangan dan semangat juang tinggi dalam kejohanan akan datang.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian kami secara keseluruhannya di Terbuka Switzerland kerana kami sudah berikan yang terbaik untuk setiap perlawanan dan bertarung hingga saat akhir. Jadi, saya harap kami dapat teruskan momentum dan memperbaiki kelemahan pada kejohanan akan datang,” katanya.
Kejuaraan Terbuka Switzerland adalah kejayaan sulung gandingan Pearly-Thinaah dalam kerjaya senior mereka selepas gandingan yang kini dibimbing ketua jurulatih Chan Chong Meng itu bergelar juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan India pada 2019 sebelum penularan pandemik Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!