Cabaran besar atlet wanita

Mun Yee
Mun Yee
A
A
A

WANITA yang memilih kerjaya dalam bidang sukan, berdepan cabaran dan rintangan lebih besar untuk mencipta nama dalam bidang ini termasuk terpaksa membuat pilihan penting sama ada meneruskan karier sebagai atlet atau mendirikan rumah tangga.

Penerjun berpengalaman negara, Leong Mun Yee berkata, atlet wanita khususnya yang berada dalam usia lewat 20-an, berdepan cabaran besar untuk membuat pilihan itu kerana berdasarkan faktor usia dan impian memburu kejayaan.

Mun Yee, 36, yang bakal membuat penampilan Sukan Olimpik kelima di Tokyo pada Julai ini sebelum ini terpaksa menangguhkan perkahwinannya susulan penangguhan Olimpik selama setahun berikutan pandemik Covid-19.

"Pada usia 20-an, sangat susah untuk merancang mendirikan rumah tangga selain sangat sukar untuk kekalkan prestasi yang mula merudum. Atlet wanita juga menghadapi masalah untuk mengawal berat badan berbanding atlet lelaki," katanya kepada Bernama.

Atlet kelahiran Perak itu yang terbabit dalam sukan terjun sejak berusia 10 tahun, bagaimanapun bernasib baik apabila keluarganya sentiasa memberikan sokongan untuk menggapai cita-cita dalam sukan.

"Keluarga saya menggalakkan kerana mereka amat meminati sukan. Mereka kata jika saya mahu teruskan, terpulang, tetapi apa yang penting jika mahu lakukan sesuatu, buatlah secara serius," katanya.

Aksi di Tokyo berkemungkinan besar menjadi penampilan Olimpik terakhir bagi Mun Yee sebagai atlet, selepas membuat penampilan sulung lebih dua dekad lalu pada temasya Olimpik Sydney 2000, diikuti penampilan di Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

Berpasangan dengan Pandelela Rinong, beliau memenangi pingat pertama untuk Malaysia dalam Kejohanan Dunia, iaitu pingat gangsa acara 10m platform seirama pada edisi 2009 di Rom, Itali, selain berjaya menaiki podium dalam pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia serta Komanwel. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!