Tukang sapu terharu terima Anugerah Iron Lady
IPOH - "Seumur hidup saya tidak pernah menerima pengiktirafan sebegini, saya sangat terharu dan berasa diri amat kerdil untuk anugerah ini," kata pekerja pembersihan, R Nagasvary, 58.
Nagasvary merupakan seorang daripada 21 penerima Anugerah Iron Lady dari Kelab Rotary Ipoh Selatan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Kelab Ipoh Diraja di sini pada malam Isnin.
Ibu kepada empat anak itu berkata, pada awalnya dia menyangka rakannya bergurau bahawa dia terpilih untuk menerima anugerah berkenaan.
"Saya hanya kerja tukang sapu sahaja, takkanlah boleh terima pengiktirafan seperti ini, tetapi mereka sungguh-sungguh kata ia memang benar dan minta saya datang sendiri untuk terima anugerah ini," katanya.
Nagasvary mula berkhidmat sebagai pekerja kontrak pembersihan sejak empat tahun lalu bersama suaminya di sebuah kawasan perumahan di Sunway City, Tambun.
Katanya, selain menyapu, rutin hariannya termasuklah menyiram pokok, memotong rumput dan membuang sampah untuk memastikan kawasan itu bersih dan teratur.
"Saya kerja pun untuk isi masa lapang, bosan duduk di rumah sebab anak-anak semua sudah besar. Anugerah ini akan saya kenang sebagai peristiwa terbaik dalam hidup saya," katanya.
Dalam pada itu, pengawal keselamatan sekolah, G Kalayvani, 47, berkata, pengiktirafan Iron Lady yang diterima itu merupakan pencapaian tertinggi baginya sepanjang 10 tahun bekerja.
Mengakui terkejut apabila dimaklumkan sebagai penerima, dia bagaimanapun bersyukur masih ada yang sudi menghargai penat lelah kerja mereka.
"Saya rasa rendah diri untuk menerima anugerah ini apatah lagi penerima lain semua hebat-hebat belaka sumbangan mereka dalam pekerjaan dan masyarakat.
"Apa-apa pun saya berterima kasih kerana diberikan ruang merasa sebagai penerima anugerah," katanya.
Dalam majlis itu, 21 wanita terdiri daripada petugas hadapan, pegawai kerajaan, aktivis masyarakat, kanser survivor, pengawal keselamatan dan tukang sapu diangkat sebagai penerima anugerah Iron Lady atas sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.
Turut tersenarai sebagai penerima anugerah berkenaan, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim.
Hadiah disampaikan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Perak, S Kavaramma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!