Warga emas rayu bantuan baiki rumah
BATU PAHAT - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas di Kampung Parit Permatang, Senggarang memohon bantuan daripada pihak berkaitan untuk membaik pulih rumahnya yang sudah usang.
Rostom Ali, 74, berkata, rumahnya yang didiami sejak kecil itu sudah banyak mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung.
Menurutnya, setiap kali hujan, dia terpaksa meletakkan bekas air bagi menadah air hujan kerana bumbung bocor.
"Sebelum ini, saya ada memohon bantuan menggantikan bumbung yang rosak, namun sehingga kini belum ada jawapan.
"Hampir semua bumbung rumah sudah bocor dan ada beberapa bahagian sudah reput dan jatuh ke lantai," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya pada Selasa.
Rostom berkata, keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan dan badannya sudah membongkok selain hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan sahaja.
"Saya bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan. Bagi menambah pendapatan, saya juga berniaga kecil-kecilan dengan menjual menu sarapan pagi.
"Kini saya hanya tinggal dengan anak saudara (Muhamad Sufian Mohd Mokhtar, 36)," katanya.
Katanya, sebelum ini, anak saudaranya itu bertugas sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi terpaksa menamatkan perkhidmatan awal kerana mengalami masalah kesihatan.
"Alhamdulillah, Sufian mendapat wang pencen sebanyak RM500 sebulan dan kami gunakannya untuk perbelanjaan seharian selain membayar bil air serta elektrik," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya akan memanjangkan maklumat bantuan permohonan yang diminta keluarga terbabit kepada pihak berkenaan.
"Keluarga ini didapati sudah mendapat beberapa bantuan seperti bantuan keperluan makanan dan bantuan daripada pihak berwajib," katanya.
Bagi mereka yang mahu memberikan bantuan boleh datang ke rumah keluarga berkenaan di Kampung Parit Permatang atau menghubungi Mohd Hamidi menerusi talian 019-7086717.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!