PH Selangor runding kerusi DUN, Parlimen ditinggalkan Bersatu

Izham (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan baja kompos kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyerahan Bantuan Warga Tani di Parit 10 Timur di sini pada Selasa.
Izham (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan baja kompos kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyerahan Bantuan Warga Tani di Parit 10 Timur di sini pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor masih dalam peringkat rundingan bagi menentukan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen di negeri ini yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas terbentuknya kerajaan Perikanan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim berkata, fasa pertama perbincangan pada peringkat awal ini memberi tumpuan mengenai pengagihan kerusi terbabit.

"Selepas selesai rundingan kerusi terbabit, barulah kita berbincang tentang rundingan kerusi sedia ada PH membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Warga Tani di Parit 10 Timur di sini pada Selasa.

Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, proses rundingan tukar suka sama suka dalam kalangan komponen PH memerlukan persetujuan secara bersama.

"Rundingan misalnya Amanah tukar kerusi dengan PKR dan begitu juga sebaliknya memerlukan persetujuan antara parti," katanya.

Malah katanya, kerusi dimenangani Amanah di DUN Sabak dan Meru juga kekal ditandingi Amanah buat masa ini meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka menyertai PKR.

"DUN Sabak dan Meru diperuntukkan kepada Amanah kecuali jika ada persetujuan lain, jika tidak ia kekal begitu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, beliau turut menyambut baik keputusan PH di peringkat Pusat yang bersetuju tidak akan menerima mana-mana ADUN atau ahli Parlimen yang keluar daripada gabungan itu.

"Kalau ada ADUN atau ahli Parlimen PH berniat hendak keluar parti sama ada Amanah, PKR dan DAP, kita tidak akan terima keahlian mereka, melainkan mereka perlu menjadi ADUN bebas atau menyertai parti selain PH," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah melaksanakan segalanya yang terbaik untuk terus membantu rakyat.

"Hubungan kerajaan negeri dan rakyat cukup baik kenapa hendak lompat parti?

"Bagi saya kita sebagai pemimpin kena berlaku adil dengan pengundi yang telah memberi mandat kepada kita untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!