Perkasa minta perjelas sebab pemecatan pengerusi MPKK
MELAKA - Perkasa Melaka mendesak ADUN Gadek, G Saminathan memberikan penjelasan berhubung sebab sebenar Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gadek, Ramlan Ibrahim, dipecat beberapa hari lalu.
Yang Dipertua Perkasa Melaka, Ahmad Baharudin mendakwa, surat pemakluman pemecatan itu bertarikh 11 Februari menggunakan kepala surat atas nama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Gadek serta ditandatangani sendiri oleh Saminathan.
Menurutnya, surat berkenaan kemudiannya dimuat naik oleh pihak tertentu di laman sosial dan menjadi tular.
"Status yang dimuat naik mengutuk tindakan tersebut dengan mendakwa sebab pemecatan adalah berkaitan satu penganjuran majlis agama di dataran Balai Raya Gadek, pada 11 Februari lalu.
"Jika ianya benar, saya membantah pemecatan ini kerana ia tak sepatutnya berlaku di sebuah negara Islam yang juga agama rasmi Persekutuan," katanya pada sidang media, selepas menghadiri mesyuarat Perkasa peringkat negeri, di sini.
Katanya, perkara itu seolah-olah memperlihatkan orang Melayu yang mengamalkan agama Islam dilarang menganjurkan majlis agama.
Antara isi kandungan surat itu, Ramlan digantung jawatannya sebagai pengerusi MPKK pada 12 Disember 2018, justeru segala keputusan semasa tempoh digantung adalah tidak diiktiraf sehingga dipecat berkuatkuasa 11 Februari lalu atas sebab tertentu.
Sementara itu Saminathan menerusi satu kenyataan menafikan fitnah terbabit dan menyifatkan status yang tular itu semata-mata bertujuan memburukkan wakil rakyat kawasan tanpa usul periksa.
Saminathan berkata, Ramlan digantung sebelum ini atas sebab salah laku iaitu dua laporan polis membabitkan fitnah Ahli Jawatankuasa terhadap beliau dan mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi MPKK Gadek, selain menabur janji kosong menjejaskan nama baik Adun tanpa perbincangan dengannya.
"Atas faktor itu, Ramlan sengaja mengaitkan isu ini dengan ceramah agama anjuran UMNO Durian Tunggal yang tidak mempunyai kaitan dengan perlucutan jawatan berkenaan," katanya.
Beliau yang juga Exco Perpaduan, Sumber Manusia, Badan Bukan Kerajaan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, turut tidak terbabit dalam sebarang keputusan berkaitan ceramah agama malah tiada surat permohonan kebenaran dibuat oleh penganjur kepada Japerun Gadek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!