MAFI usaha stabilkan harga makanan haiwan
ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berusaha menstabilkan harga makanan haiwan ternakan di negara ini dengan berbincang bersama pengeluar isi rung kelapa sawit agar bekalan tersebut cukup untuk kegunaan tempatan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, faktor pengeluar yang mempunyai kontrak di luar negara termasuk harga yang lebih baik di sana menyebabkan kenaikan harga makanan haiwan ternakan di negara ini.
Menurutnya, isi rung kelapa sawit merupakan salah satu bahan dalam penghasilan makanan haiwan ternakan dan kenaikan harga bahan itu juga menyebabkan harga makanan haiwan ternakan naik secara tidak langsung.
"Isi rung kelapa sawit memang dihasilkan di dalam negara kita tapi kebanyakannya di eskport ke luar negara kerana pengeluar mempunyai kontrak di sana selain harga ditawarkan lebih baik.
"Justeru, kementerian cuba berbincang dengan pengeluar supaya sebahagian isi rung dapat dikekalkan di dalam negara dan menstabilkan harga bahan makanan haiwan ternakan," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kilang Pemprosesan Ayam Bismi di Simpang Empat, Alor Setar pada Selasa.
Mengulas lanjut, perbincangan tersebut juga melibatkan beberapa pihak dan agensi lain bagi mengatasi harga makanan haiwan ternakan itu yang kini meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.
"Kita juga mengalakkan penternak untuk menanam dan mengusahakan sendiri bekalan makanan haiwan seperti rumput napier.
"Kementerian juga sedang berbincang dengan pelbagai agensi berkaitan untuk meningkatkan penanaman jagung yang juga boleh dijadikan sebagai makanan haiwan," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan melawat pengeluar isi rung kelapa sawit dalam masa terdekat untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka sehingga menyebabkan harganya meningkat.
Pada 4 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan golongan penternak memohon kerajaan mengawal harga makanan ruminan.
Rata-rata mereka berharap kerajaan dapat menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi kemelut itu antaranya dengan menetapkan harga siling atau meletakkan ia sebagai barang kawalan.
[Artikel berkaitan:https://www.sinarharian.com.my/article/126749/LAPORAN-KHAS/Kawal-harga-makanan-ruminan]
[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/126578/LAPORAN-KHAS/Dedak-jadi-punca]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!