Guna royalti petroleum bantu orang miskin
KOTA BHARU – Senator Datuk Husam Musa mahu kerajaan negeri menggunakan sebaik mungkin wang royalti petroleum bagi mewujudkan program yang lebih komprehensif dan berfokus untuk membantu rakyat miskin di negeri ini.
Menurut bekas pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu, langkah tersebut amat penting kerana kerajaan negeri perlu ambil berat kesusahan rakyat terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU).
“Sebahagian sumber mineral Kelantan sama ada emas atau petroleum boleh dimasukkan ke dalam tabung khas dan dibuat program khusus supaya rakyat dapat meningkatkan kedudukan dengan adanya kumpulan sasar setiap tahun.
“Begitu juga dengan royalti petroleum, sampai hari ini kita tidak tahu berapa jumlah yang diperoleh kerajaan Kelantan, kalau sebahagian daripada duit itu digunakan untuk membasmi kemiskinan, saya kira kedudukan dan kebajikan rakyat dapat terjaga dengan lebih baik.
“Kalau kerusi roda pun rakyat tidak dapat, taraf kebajikan mereka sangatlah menyusahkan,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke sebuah kediaman di Kampung Gerong, Palekbang di sini pada Selasa.
Husam turut membawa sebuah kerusi roda kepada seorang pesakit parkinson iaitu Hayati Ibrahim, 45 tahun yang tinggal bersama kakak iparnya, Bidah Ahmad, 72 tahun.
Mengulas lanjut, Husam yang juga penggerak kempen ‘Save Kelantan’ memberitahu, program sedia ada bukanlah tidak membantu, namun ia memerlukan satu mekanisme yang lebih konkrit supaya mereka tidak tercicir daripada sebarang bantuan.
“Sebagai contohnya kediaman yang kita lawat hari ini, mereka minta zink sebab atap bocor, kalau kita ada satu sistem bantuan yang lebih cekap, maka masalah seperti ini akan dapat diselesaikan.
“Selain sumber dana, kerajaan juga akan tahu bagaimana caranya untuk membantu, ini memerlukan kesungguhan. Kalau kerajaan betul-betul fokus, memang kita boleh atasinya,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini Hayati Ibrahim pernah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) sebelum ini iaitu RM2,000 pada 2018, 2017 dan 2009 termasuklah di atas nama arwah suami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!