Hutang kaya vs hutang miskin
SHAH ALAM - Hutang yang membuatkan seseorang itu semakin lama semakin miskin adalah lebih bahaya berbanding hutang yang membuatkan seseorang semakin lama semakin kaya, kata Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir.
Menurutnya, terdapat perbezaan ketara mengenai kedua-dua jenis hutang berkenaan.
Jelas beliau, hutang kaya itu melibatkan seseorang yang membeli aset seperti rumah dengan mengambil atau membuat pembiayaan bank.
“Sebagai contoh, kita beli rumah dengan harga RM200,000 tiba-tiba nak jual jadi RM400,000. Itu yang dikatakan semakin lama semakin kaya kerana kita mendapat keuntungan walaupun membuat pinjaman di bank.
“Hutang yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin pula melibatkan pinjaman peribadi, kad kredit dan skim ansuran mudah. Yang ini kalau boleh jangan sesekali terlibat kerana ia membuatkan kita menjadi boros.
“Ada orang dia buat pinjaman peribadi sebab nak bayar pendahuluan beli kereta baharu. Ada juga yang buat skim ansuran mudah ketika membeli perabot seperti sofa dan almari lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana al-Quran Siri ke-96 bertajuk ‘Bayar Hutang Satu Jihad' yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Program itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail yang turut menampilkan mantan Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Roslan Mohamed.
Qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur memperdengarkan surah al-Baqarah ayat 282.
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, pembahagian pendapatan mengikut peratusan setiap bulan dapat membantu mereka menguruskan kewangan peribadi dengan baik, berhemah dan tidak mudah terdedah dengan krisis hutang.
“Apabila kita menerima gaji setiap bulan, perbelanjaan mestilah tidak melebihi 70 peratus. Ini kerana yang selebihnya adalah untuk simpanan masa depan kita.
“Saya lihat perbelanjaan mereka yang menjadi terbabas disebabkan oleh keinginan untuk bergaya dan kelihatan mewah di khalayak ramai.
“Justeru, janganlah membazir kerana ia merupakan amalan syaitan. Jika kita diajar untuk tidak membazir, maka hutang-hutang yang tidak perlu secara langsung dapat dielakkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!