‘Pas boleh kerjasama Bersatu, tapi jangan susahkan UMNO’

Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO tidak menghalang sekiranya Pas bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerjasama tersebut tidak seharusnya menyusahkan UMNO terutamanya di kawasan di mana parti itu bertanding bersama dengan Bersatu.

“Kita memang nak kerjasama dengan dia (Pas), dia dengan Bersatu tu masalah dia, Pas nak tarik diri sokong Bersatu tu pun masalah dia, tapi Pas dengan kita jangan berpecah.

“Mungkin ada formula yang dia (Pas) bersama dengan Bersatu tetapi jangan susahkan UMNO. Di mana UMNO bertanding, jangan pula Pas tolong Bersatu untuk bantai kita,” katanya pada sidang akhbar pengumuman pemangku jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana di Ampang pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO itu turut memberikan beberapa senario yang mungkin berlaku dalam PRU15 antara UMNO, Pas dan Bersatu.

“Kalau Bersatu bertanding di Bukit Bintang, Pas nak tolong sokong Bersatu, tolonglah sebab UMNO tidak bertanding di sana.

“Sama juga di Kepong, kempen lah untuk PPBM, tapi di Pasir Salak, UMNO bertanding dan kalau Bersatu nak bertanding di sana, Pas jangan sokong. Kalau sokong siap,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak.

Pada Khamis lalu, UMNO mengesahkan parti tersebut pada Februari lalu telah memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan hanya akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional sehingga Parlimen dibubarkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi pada PRU akan datang, Tajuddin berkata, sekiranya UMNO bertanding sendirian bersama Barisan Nasional, parti itu akan akan meletakkan calon pada 120 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Namun begitu, beliau berkata, pembahagian kerusi tersebut akan berubah jika UMNO bekerjasama dengan Pas dalam PRU15 di mana partinya hanya akan bertanding sebanyak 96 kerusi Parlimen.

“Selebihnya Pas boleh bertanding tidak kisah sama ada lebih 20, 30 ke, 40 kerusi Parlimen,” katanya,

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!