Pasaran modal Islam terbukti berdaya tahan semasa pandemik
KUALA LUMPUR - Pasaran modal Islam terbukti berdaya tahan semasa pandemik Covid-19 dan mewujudkan impak yang besar kepada ekonomi di seluruh dunia dengan terbitan sukuk global meningkat pada 2020, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sejumlah AS$172.1 bilion sukuk telah diterbitkan pada tahun lepas meningkat 1.8 peratus daripada 2019, titah baginda, sambil menambah terdapat momentum yang kukuh dalam pasaran sukuk utama terutamanya dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020.
“Terbitan ini membantu membiayai pakej rangsangan yang diperkenalkan untuk mengurangkan impak ekonomi daripada pandemik tersebut.
“Pertumbuhan defisit fiskal ini membawa kepada peningkatan keperluan pembiayaan,” titah baginda dalam ucapan perasmian pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-16 yang diadakan secara maya pada Selasa.
Sultan Nazrin bertitah, terbitan sukuk berkurangan pada suku keempat dengan penurunan yang ketara dalam terbitan sukuk negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terutamanya dari Arab Saudi.
Ini menunjukkan kejayaan penjanaan modal yang dijalankan pada suku tahun sebelumnya serta langkah-langkah lain yang diambil untuk mengurangkan defisit.
Di peringkat domestik, Malaysia turut memanfaatkan sumber pembiayaan ini dan meraih RM666 juta pada Ogos 2020 untuk inisiatif ‘6R’ - Menyelesaikan (Resolve), Berdaya Tahan (Resilience), Memulakan Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasakan (Revitalise) dan Pembaharuan (Reform) - sebagai tindak balas terhadap krisis tersebut, titah baginda.
Terbitan kedua sekurang-kurangnya RM100 juta dirancang, untuk membiayai penyelidikan mengenai penyakit berjangkit, termasuk pembangunan vaksin, rawatan dan diagnostik, titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, industri kewangan Islam secara keseluruhannya mencatatkan kelembapan pada 2020 berikutan pandemik berbanding pertumbuhan yang pesat sebanyak 13 peratus pada 2019, dengan banyak negara-negara Islam turut menyesuaikan dengan harga minyak yang rendah dalam sejarah.
Menurut petunjuk dari Emiriah Arab Bersatu, kadar penembusan perbankan Islam - iaitu, peratusan pelanggan yang mempunyai sebarang produk kewangan Islam merosot pada 2020 untuk kali pertama sejak pengukuran bermula pada 2015, titah baginda.
Kadar penembusan pasaran hanya 47 peratus pada masa itu, tetapi meningkat dengan baik mencecah 60 peratus pada 2019, sebelum turun kepada 58 peratus pada 2020, titah baginda.
“Antara cabaran utama yang dihadapi oleh bank Islam ialah pendedahan mereka kepada perusahaan kecil dan sederhana, pembiayaan mikro dan pelanggan runcit, berbanding institusi kewangan konvensional.
“Sektor ini telah terjejas teruk dalam sekatan ekonomi yang diperlukan untuk menguruskan pandemik ini,” titah baginda.
Dalam perkembangan lain, Sultan Nazrin menggesa agar semua pihak berkepentingan dalam pasaran kewangan global untuk bertindak memajukan serta memacu sumbangan masing-masing bagi menyokong serta memperkasa semula inisiatif Matlamat Pertumbuhan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
Titah baginda, impak Covid-19 terhadap golongan paling mudah terjejas dalam komuniti global adalah sesuatu yang membimbangkan dan pandemik itu turut mengekang kemajuan beberapa petunjuk utama SDG tersebut.
“Kelompok masyarakat yang sememangnya telah terjejas turut berdepan kemiskinan lebih buruk berikutan langkah sekatan ekonomi yang mengurangkan pekerjaan serta pendapatan sektor yang melibatkan mereka.
“Ini bermakna, kita perlu berusaha lebih lagi untuk menyokong serta memperkasa semula inisiatif SDG. Usaha ini adalah wajar serta penting dan perlu kita semua lakukan selain menyumbang dalam apa juga cara yang mampu,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, kewangan Islam juga berkait rapat dengan SDG dan boleh memainkan peranan bagi mencapai semua matlamat tersebut menerusi aspek keterangkuman kewangan.
Baginda bertitah, mekanisme penting bagi menangani kemiskinan adalah dengan memperluas manfaat pengantaraan kewangan kepada lebih ramai masyarakat.
Bagaimanapun, dari segi praktis, ramai yang masih kekal di luar sektor perbankan rasmi berikutan kos tinggi bagi menjangkau kumpulan berpendapatan rendah serta menawarkan perkhidmatan kewangan terbabit kepada mereka, titah baginda.
Berikutan itu, Sultan Nazrin percaya bahawa penggunaan teknologi adalah penyelesaian terbaik bagi usaha tersebut yang dapat mengurangkan keperluan hubungan secara fizikal selain menangani jurang komunikasi dengan kumpulan berpendapatan rendah yang wujud sejak sekian lamanya.
“Ini dapat memberi sumbangan terhadap keterangkuman kewangan secara lebih ketara dan mekanisme ini dapat membasmi kemiskinan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, teknologi pintar juga telah melonjakkan aspek kelajuan, ketepatan, ketelusan serta penjejakan transaksi selain dapat memperkukuh pemprofilan pelanggan, keupayaan telahan atau membuat unjuran, membuat keputusan serta pengukuran impak.
Kesemua standard baharu yang telah dicapai dalam semua bidang tersebut juga kian pantas menjadi keperluan penting dalam dunia kewangan model yang amat kompetitif serta dikawal selia dengan ketat, titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, institusi kewangan Islam juga berada pada kedudukan sewajarnya untuk menerima semua pendekatan baharu bagi perbankan.
“Penggunaan algoritma pintar serta analisis data raya dan Kecerdasan Buatan dapat membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan kepada semua segmen komuniti secara lebih berkesan dan pada kos lebih rendah.
“Menerusi cara ini, mereka tidak hanya berupaya memenuhi matlamat sebagai perniagaan, tetapi berupaya menyumbang terhadap kepentingan moral untuk membantu golongan yang memerlukan,” titah baginda. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!