Cederakan polis untuk loloskan diri

Mohd Said
Mohd Said
A
A
A

KEMAMAN - Angkara mahu meloloskan diri ketika ditahan seorang lelaki bertindak memijak lutut dan pinggang anggota polis dalam serbuan dadah di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, di sini, semalam.

Namun, dengan kecekapan anggota polis cubaan suspek berusia 22 tahun itu tidak berhasil dan berjaya diberkas bersama seorang lagi rakannya dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang.

Dua suspek yang sebelum itu berada di hadapan sebuah rumah pada awalnya didatangi empat anggota yang sedang dalam tugas Ops Tapis Narkotik selepas mendapat maklumat terdapat aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, setibanya di rumah itu anggotanya bertindak menghampiri mereka dengan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum dua suspek bertindak melarikan diri.

Suspek pertama berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui dua paket plastik lut sinar yang setiap satu berisi serbuk putih dan ketulan kristal disyaki dadah di dalam poket sebelah kanan seluar pendek dipakai suspek itu.

"Dua lagi anggota pada masa sama bertindak mengejar seorang lagi suspek dan ketika menahannya, suspek bertindak agresif dengan memijak lutut dan pinggang seorang anggota menyebabkan kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, suspek tersebut berjaya ditahan dan pemeriksaan terhadap tubuh badannya tidak menemui barangan salah namun dia bersama rakannya itu ditahan untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Artikel Berkaitan:

Ekoran itu, suspek yang berusia 22 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dan kedua-duanya juga disiasat kerana kesalahan dadah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!