KKMM cadang tubuh yayasan bantu petugas media hilang kerja
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang untuk menubuhkan yayasan khas bagi membantu petugas dalam industri media yang kehilangan pekerjaan, kata Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata, cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan bersama persatuan-persatuan melibatkan media, namun beliau menjangkakan yayasan tersebut dapat ditubuhkan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, yayasan itu bukan sahaja berfungsi untuk membantu bekas petugas media yang kehilangan pekerjaan berikutan impak perubahan industri dan kesan penularan Covid-19, malah bagi kegunaan bantuan kebajikan petugas industri terbabit.
“Yayasan ini akan diuruskan oleh persatuan media dengan dibantu oleh kerajaan. Kalau boleh, perlu ada campur tangan kerajaan kerana tanpa campur tangan kerajaan, kejayaan (yayasan) sukar untuk dicapai.
“Kita (KKMM) juga berhasrat kalau boleh diberikan pengecualian cukai kepada mana-mana syarikat yang membantu yayasan ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma TV Angkasapuri di sini pada Selasa.
Zahidi mempengerusikan mesyuarat hampir dua jam bersama wakil daripada enam persatuan pengamal media tempatan termasuk persatuan bekas wartawan dan jurugambar.
Mengenai mesyuarat itu, Zahidi berkata, persatuan terbabit turut merayu agar kerajaan mempertimbang mewujudkan peruntukan atau dana khas untuk membantu petugas industri itu yang terjejas akibat Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!