Boleh tengok wayang bersama jika tinggal serumah
KUALA TERENGGANU - Individu yang tinggal serumah kini dibenarkan duduk bersama tanpa perlu penjarakan fizikal ketika menonton filem di panggung wayang selepas industri itu dibenarkan beroperasi pada 5 Mac lalu.
Pengurus Paragon Cinema yang beroperasi di Kuala Terengganu City Center (KTCC) Mall, Amerul Azmer Amri berkata, kebenaran tersebut merupakan sebahagian prosedur operasi standart (SOP) baharu yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, SOP baharu itu satu perkembangan positif untuk industri pawagam dan ia tidak begitu rumit untuk dilaksanakan kerana panggung tersebut sebelum ini sudah melaksanakan pengasingan antara penonton wanita, lelaki dan keluarga.
"Penonton dari rumah sama perlu beli tiket secara 'walk in' dan tunjukkan bukti mereka tinggal bersama seperti kad pengenalan. Bagi pasangan suami isteri dan anak-anak pula memang kita akan beri mereka duduk bersama," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Amerul Azmer berkata, kebenaran duduk bersama itu mendapat respons yang baik daripada orang ramai apabila jumlah penonton dilihat semakin meningkat berbanding sebelum ini dengan peratusan penonton mencapai tahap 30 peratus.
Beliau percaya jumlah penonton akan terus bertambah selepas beberapa filem blockbuster yang sebelum ini tergendala berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula ditayangkan dalam tempoh terdekat.
Menurut Amerul Azmer, orang ramai tidak perlu bimbang untuk datang menonton wayang bersama rakan dan keluarga kerana pihaknya mengamalkan SOP yang ketat mengikut saranan MKN serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Setiap penonton akan diambil suhu badan, wajib memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan dewan akan dinyahkuman setiap kali tayangan tamat.
"Kawasan wayang juga akan sentiasa dinyahkuman dan ia dilakukan oleh kakitangan kita yang sudah diberi latihan khusus," katanya.
Paragon Cinema Kuala Terengganu mempunyai 10 dewan tayangan namun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini hanya lima dewan dibuka yang boleh memuatkan 400 penonton berikutan SOP.
Amerul Azmer turut berharap industri pawagam dapat berkembang dengan baik menjelang tahun 2022 selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan.
"Sekarang pun orang ramai sudah yakin untuk menonton wayang, jauh beza ketika mula-mula kita buka selepas PKP pada tahun lepas. Mereka mula biasa dengan normal baharu dan boleh terima duduk berselang ketika menonton," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!