KPDNHEP Perak rampas kasut jenama tiruan

Ahmad Ahrazzuddin (tengah) bersama pegawai penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan sebahagian kasut tiruan yang dirampas.
Ahmad Ahrazzuddin (tengah) bersama pegawai penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan sebahagian kasut tiruan yang dirampas.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas lebih 7,000 pasang kasut tiruan pelbagai jenama dalam operasi di tiga premis sekitar Menglembu, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Peguat kuasanya, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, operasi tersebut dijalankan selepas pihaknya membuat risikan selama tiga minggu berikutan aduan wakil cap dagang.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan serentak pada jam 3 petang itu, seramai 16 penguat kuasa terlibat dalam pemeriksaan di kesemua premis secara berasingan.

"Antara barangan atau jenama tiruan yang ditemui di premis ini adalah jenama Gucci, Fipper, Adidas, Nike, Converse dan Hermes.

Risikan target sudah dilakukan sejak tiga minggu dan mendapati kesalahan yang dilakukan oleh premis ini adalah di bawah Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ditemui di salah satu premis yang di periksa di Menglembu, di sini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan sitaan bagi ketiga-tiga premis yang telah diperiksa sebanyak 7,561 pasang kasut dan selipar dengan jumlah anggaran RM55,449.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang untuk kesalahan pertama atau tidak lebih RM30,000 bagi setiap barang untuk kesalahan kedua dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Bagi perseorangan pula, mereka boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua.

"Manakala bagi kesalahan kedua didenda RM20,000 setiap barang untuk kesalahan kedua dan seterusnya atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, kasut dan selipar yang disita dipercayai dijual untuk pasaran di sekitar Ipoh melalui jualan pasar malam dan premis lain dengan harga dalam lingkungan RM25 bagi sepasang kasut manakala RM5 hingga RM7 bagi selipar.

Katanya, beberapa individu di premis tersebut diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!