Jajaran ECRL dilanjutkan sehingga 665 km
PUTRAJAYA - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditambah baik dengan melanjutkan jajaran asal daripada 640 kilometer (km) kepada 665 km bagi membentuk sistem jaringan rel yang lebih cekap.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penambahan jajaran tersebut turut merangkumi pelanjutan 30 km jajaran asal, iaitu 24 km dari Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) ke Pelabuhan Barat dan 6 km dari Jalan Kastam ke Pelabuhan Utara.
"Ini sebab kita (kerajaan) hendak membentuk satu jambatan darat dan mengoptimumkan penggunaan rel.
"Objektif utama pembinaan ECRL ialah sebagai laluan kargo, iaitu 70 peratus untuk membawa barangan manakala 30 peratus untuk penumpang. Jadi, kita perlu memastikan ada pulangan," katanya dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin MOT baru-baru ini.
Kajian secara menyeluruh turut dilaksanakan bagi meningkatkan kelebihan logistik ECRL terutama melibatkan isu kesesakan dan keselamatan kereta api yang kini terpaksa melalui KL Sentral.
Pada masa yang sama, kita juga menawarkan khidmat penumpang yang lebih baik dengan adanya ketersambungan terus kepada sistem pengangkutan awam ke Kuala Lumpur melalui Terminal Bersepadu Gombak.
Ka Siong menegaskan kejayaan ECRL bukan hanya mengembalikan semula jajaran asal tetapi ditambah baik termasuk melalui Serendah dan Pelabuhan Klang, seterusnya ke Pelabuhan Barat dan Utara.
"Dari segi kos nilai kejuruteraan ia hanya melibatkan sekitar RM50 bilion berbanding kos sebelum ini berjumlah RM46.379 bilion yang belum dicampur kos pengambilan tanah yang mencecah sehingga RM54 bilion," katanya.
Semua masalah teknikal yang dihadapi projek mega itu seperti isu tapak warisan, penempatan Orang Asli dan empangan batu juga dapat diselesaikan dengan cara yang baik.
Projek yang dijangka siap pada 2026 itu juga telah mencapai kadar kemajuan sebanyak 20.37 peratus pada Januari 2021 berbanding dengan jadual asal iaitu 19.39 peratus.
"Kemajuan ini disebabkan oleh Bahagian B (Dungun-Mentakab) yang telah mencapai tahap penyelesaian sebanyak 9.47 peratus berbanding 5.83 peratus seperti yang dijadualkan," jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!