Suri rumah rugi RM50,000 ditipu 'Tuan Lee'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA - Seorang suri rumah berusia 75 tahun mengalami kerugian RM50,000 selepas ditipu menerusi panggilan telefon yang seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis bernama ‘Tuan Lee’ yang mendakwa kononnya anak wanita itu ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, warga emas itu telah dihubungi suspek pada Isnin, meminta bayaran supaya anaknya dibebaskan.

“Wanita yang ketakutan dan cemas itu bersetuju untuk membuat bayaran bagi membebaskan anaknya dengan melakukan enam kali transaksi bayaran berjumlah RM50,000 ke dalam akaun bank CIMB yang diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, wanita itu kemudiannya diarah menunggu anaknya di salah sebuah pasar raya di Cheng dan mula tersedar ditipu selepas anaknya masih tidak kelihatan selepas menunggu hampir dua jam.

Bagaimanapun katanya, anak wanita itu akhirnya berjaya dihubungi dan memberitahu bahawa dia sedang bermesyuarat.

Sementara itu, Sundra Rajan berkata, empat kes tipu berkaitan membebaskan tahanan dalam lokap dilaporkan dari Januari hingga Mac tahun ini dengan kerugian mencecah RM105,000 manakala sepanjang tahun 2020 pula, tujuh kes dicatatkan dengan nilai kerugian RM165,500.

Justeru, pihak polis memohon orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis yang menawarkan untuk membebaskan mana-mana tahanan dalam lokap. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!