Pembalakan kompartmen 12 Bukit Enggang diluluskan 2017
ALOR SETAR - Kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) Kedah tidak pernah meluluskan pembalakan baharu di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan pembalakan di kawasan seluas 200 hektar di Kompartmen 12, hutan simpan tersebut sudah lama diberikan kepada Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) pada 2017.
Menurutnya, sejak mengambil alih pentadbiran negeri Mei tahun lalu, belum ada satu pun kelulusan baharu diberikan untuk aktiviti pembalakan.
“Proses penebangan balak ambil masa lama. Ada yang lulus pada 2005 dulu tetapi masih dalam proses melesenkan tebangan. Gambar tular di media sosial itu menunjukkan tempoh lesen antara 26 November 2020 hingga 25 Mei 2021, bukannya tarikh kelulusan diberikan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tidak semudah itu untuk membatalkan mana-mana kelulusan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri terdahulu kerana tertakluk pada perundangan.
“Ada pihak tertentu mempersoalkan kenapa kerajaan kini tidak batalkan saja kelulusan tersebut. Saya nak maklumkan, apabila kelulusan dibuat, mereka telah bayar premium dan mengeluarkan perbelanjaan untuk pelbagai perkara berkaitan dan melibatkan kos,” katanya.
Menurutnya, sekiranya dibatalkan, syarikat konsesi berkenaan boleh mengheret kerajaan negeri ke mahkamah.
“Ada negeri yang disaman sebab batalkan kelulusan, sehingga tak mampu menjelaskan denda ditetapkan. Akhirnya ambil jalan selesaikan di luar mahkamah atau terpaksa berikan kawasan pembalakan baharu pula, ini yang kita cuba elakkan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 75,000 hektar kawasan pembalakan telah diluluskan oleh kerajaan negeri terdahulu antara 2014 hingga tahun lalu.
“Lesen tebangan akan dikeluarkan mengikut kuota ditetapkan Majlis Tanah Negara, Kedah dan cuma boleh menebang balak di kawasan seluas 4,000 hektar sahaja setahun.
“Itu bermakna negeri ini memerlukan 18 tahun untuk habiskan kesemua 75,000 hektar tebangan balak tersebut. Kalau kita luluskan pembalakan sekarang, mungkin 19 tahun akan datang baru boleh tebang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!