'Pulau Pinang hanya berhak guna lima peratus air mentah'

Muhammad Sanusi (duduk, tengah) selepas sesi libat urus bersama Jawatankuasa panel pakar pengurusan sumber dan industri bekalan air negeri Kedah pada Isnin. - Foto: Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi (duduk, tengah) selepas sesi libat urus bersama Jawatankuasa panel pakar pengurusan sumber dan industri bekalan air negeri Kedah pada Isnin. - Foto: Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

ALOR SETAR - Pulau Pinang hanya berhak menggunakan lima peratus daripada keseluruhan air mentah dari Sungai Muda di Kedah, berdasarkan kepada hak riparian.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penetapan itu berdasarkan kepada konsep hak riparian yang diguna pakai di peringkat antarabangsa, di mana hak penggunaan bekalan air secara percuma oleh sesebuah negara atau negeri, bergantung kepada keluasan kawasan tadahan air yang membentuk lembangan sungai.

Bagaimanapun katanya, Pulau Pinang telah menggunakan sekitar 56 peratus sumber air Kedah berbanding hak riparian dibenarkan, iaitu lima peratus sahaja.

“Kita guna 44 peratus, penggunaan mereka lebih tinggi. Disebabkan itu, mereka perlu bayar caj penggunaan air mentah yang mengalir dari Kedah sebab penggunaan melebihi had.

Berdasarkan pada juta liter sehari (mld) pula, Pulau Pinang gunakan air sebanyak 1,200 mld sehari manakala Kedah cuma 780 mld,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, hak riparian itu juga terbatal apabila lokasi penggunaan air itu terpisah daripada laluan sungai berkenaan.

“Ia begitu mudah difahami kecuali buat-buat tak faham. Kawasan tadahan air Sungai Muda dimiliki Pulau Pinang hanya lima peratus, bermakna hak penggunaan air juga sepatutnya lima peratus.

Berdasarkan riparian sempadan sungai pula, hak itu mungkin terpakai hanya di Seberang Perai dan sekitar kawasan Sungai Muda mengalir, ia tidak terpakai untuk kawasan dalam pulau yang dipisahkan oleh laut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, merujuk beberapa kes di Australia dan Kanada, semua negeri dalam Persekutuan negara itu membayar yuran penyenggaraan kepada negeri yang memiliki kawasan tadahan air.

“Kalau konteks Kedah, kita memiliki kawasan tadahan air di Ulu Muda. Negeri yang gunakan air secara fizikal tetapi tidak mahu bayar, ini yang menjadi persoalan dan patut dipertimbangkan dan difahami,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, syor terbabit dibentangkan oleh beberapa pakar yang menganggotai panel pakar pengurusan sumber dan industri bekalan air negeri Kedah yang dipengerusikannya pada Isnin.

Panel itu dianggotai mereka yang berkelayakan terdiri daripada bekas ketua pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), pemilik firma konsultan air, pensyarah, ahli kimia, sejarawan serta pensyarah universiti tempatan.

Muhammad Sanusi berkata, penubuhan panel itu membuktikan Kedah serius membuat tuntutan terhadap Pulau Pinang dan akan terus berusaha selagi Pulau Pinang tidak membuat bayaran.

“Antara syor lain termasuk mengembangkan potensi Kedah selaku hab sumber air mentah di wilayah Utara melalui pelbagai perancangan, selain cadangan menjadikan sektor ini sebagai katalis untuk pertumbuhan ekonomi negeri.

Sepatutnya negeri yang ada bekalan air banyak, ekonominya berkembang pesat tapi di Kedah nampaknya tidak seimbang,” katanya.

Menurutnya, kesemua syor berkenaan akan dihantar kepada semua pihak terlibat termasuk Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KASA) dan kerajaan Pulau Pinang untuk dipertimbangkan.

“Selepas semua kluster berkaitan perundangan, tenikal, sejarah dan biodiversiti siap, kita akan segera usulkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!