Parkir digital di Selangor tahun depan

Sze Han (kiri) selepas sidang media Hala Tuju Pengurusan Tempat Letak Kenderaan Di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor di Wisma MBSA di sini pada Selasa.
Sze Han (kiri) selepas sidang media Hala Tuju Pengurusan Tempat Letak Kenderaan Di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor di Wisma MBSA di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan melaksanakan pembayaran parkir secara digital melalui aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bermula 1 Januari 2022 sekali gus menamatkan penggunaan kupon parkir manual pada 31 Disember 2021.

Bagaimanapun Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, sistem ejen e-parkir akan disediakan sebagai alternatif kepada orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar atau aplikasi parkir digital.

Katanya, kerajaan negeri melalui anak syarikat iaitu SSDU telah membina dan melancarkan sistem aplikasi tempat letak kereta, Smart Selangor Parking (SSP) yang boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar dan ia telah diseragam dan diguna pakai di pihak berkuasa tempatan (PBT) Negeri Selangor.

“Pada masa ini, pengguna aplikasi SSP berdaftar sudah melebihi 1.5 juta orang dan melalui penggunaan sistem aplikasi SSP, ia juga dapat menjimatkan sejumlah 634,994 kilogram kertas,” katanya pada sidang media Hala Tuju Pengurusan Tempat Letak Kenderaan Di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Selasa.

Selain itu, Ng berkata, kerajaan negeri bercadang mewujudkan kaedah petak parkir ‘hot zone’ di kawasan tumpuan awam dengan meletakkan had masa maksimum bagi setiap tempahan.

“Sebagai contoh, petak parkir ‘hot zone’ tidak boleh melebihi tempoh dua jam. Kaedah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna lain mendapatkan petak parkir di kawasan yang sibuk dan padat,” katanya sambil menambah ‘hot zone’ dikenal pasti akan dilaksanakan di Taipan USJ, Subang Jaya.

Menurut beliau, petak parkir ‘hot zone’ akan diberi nama yang lebih sesuai serta mesra pengguna dan akan mula dikuatkuasakan setelah pindaan ke atas Jadual di dalam Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) yang diguna pakai oleh PBT Negeri Selangor diwartakan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!