Dua kali tewaskan Kasparov!

A
A
A

“ANGER is a potent spice. A pinch wakes you up, too much dulls your senses.”

Maknanya kalau ikut terjemahan Google: “Kemarahan adalah rempah yang kuat. Sejemput menyedarkan anda, terlalu banyak deria anda.”

Entah apa-apa. Moral ceritanya, cari ilmu jangan di Google semata-mata. Pelbagai sumber. Banyak mencari. Banyak membaca.

Okay, maksud sebenar kata-kata di atas bolehlah diterjemahkan begini: “Kemarahan adalah rempah ratus yang penting. Secubit membangkitkan aroma kehidupan. Terlalu banyak mengaburkan perasaan.”

Kata-kata itu merupakan dialog daripada mini siri drama The Queen’s Gambit, Musim 1 Episod 5. Drama tersebut diangkat daripada novel berjudul yang sama karya Walter Tevis (1928-1984).

Ia mengisahkan tentang kehidupan Beth Harmon, seorang gadis yatim piatu yang memburu kejayaan di pentas catur dunia dan pada masa yang sama bergelut dengan kebergantungan kepada dadah dan arak.

Saya tidak bercadang hendak mengulas drama itu. Tidak juga tentang Anya Taylor-Joy, si cantik yang membawa watak Beth Harmon. Sebaliknya, saya cuma hendak berkisah tentang catur, permainan berpapan yang dulu-dulu banyak ‘mencuri’ masa riadah saya.

Saya minat catur, seingat saya apabila berumur enam tahun, arwah bapa saya pernah menghadiahkan set catur ketika hari ulang tahun. Beliau mengajar bagaimana permainan itu berfungsi secara asas.

Artikel Berkaitan:

Pada saya, ia seperti main dam aji cuma setiap buah catur mempunyai formasi pergerakan tertentu. Jika dam aji kemenangan diukur dengan ‘makan buah’ pihak lawan sehingga habis, manakala kejayaan catur diukur dengan membunuh king.

Walaupun setelah dewasa saya faham ada banyak lagi kaedah menentukan keputusan permainan catur.

Dalam kalangan budak-budak kampung zaman saya dahulu – mungkin juga masih begitu sekarang ini – permainan catur ini ada kelasnya tersendiri.

Kononnya, kalau boleh dan pandai bermain catur, ‘kasta’nya tinggi. Orang biasa-biasa tidak main catur. Mereka main dam aji. Demikianlah hodohnya perangai manusia, dalam permainan yang asalnya bertujuan mengisi masa lapang pun mereka cuba membeza-bezakan darjatnya.

Di Kuala Lumpur, terdapat banyak kelab catur untuk mengisi masa lapang. Di Sungai Besar, sekolah dan cikgunya menjadi penggerak utama.

Ketika menjadi ahli Parlimen dahulu, sempat juga menganjur pertandingan catur untuk peringkat sekolah dan terbuka. Penyertaan sangat baik dan iai membuktikan catur juga punya peminat tersendiri.

Kegilaan

Saya tidaklah terlalu pandai bermain catur, namun pernah juga mewakili sekolah hingga ke peringkat negeri. Piawaian saya mudah. Jika bermain dengan orang yang tidak pandai, kemungkinan untuk saya menang sangat besar. Sebaliknya, kalau bermain dengan yang pandai atau sangat pandai, keberangkalian untuk kalah atau sekurang-kurangnya seri memang sentiasa ada.

Bagi setiap penggemar catur, mereka tidak terlepas daripada mengidolakan jaguh-jaguh catur atau grandmaster antarabangsa.

Pada zaman kegilaan saya memuncak dahulu, antara nama yang menjadi idola saya, selain Bobby Fischer adalah dua legenda lain iaitu Anatoly Karpov dan Garry Kasparov. Saya betul-betul meminati mereka sehingga pernah dua kali bermimpi berlawan catur dengan Kasparov. Dan saya menang dalam kedua-dua perlawanan itu!

Pertembungan klasik antara Kasparov dan Karpov akan tetap dikenang. Karpov dengan strategi The Black Widow memperkenalkan buka main seperti labah-labah memasang jaring. Nampak seperti tidak berbahaya, namun sebarang kesilapan kecil pihak lawan akan segera dimanfaatkan.

Kasparov pula buka mainnya menyusun seperti harimau kumbang, penuh sabar dan berhati-hati sebelum menyerang.

Ada orang kata catur ini sukan yang sesuai untuk orang yang tak berapa layak masuk sukan lain seperti bola sepak atau lumba lari. Yang lagi celupar kata, ia sukan untuk geng ‘nerd’ sahaja. Amboi-amboi, pengetahuan am mereka yang berkata itu mesti agak rendah.

Mereka tidak tahu ramai dalam kalangan Presiden Amerika Syarikat adalah peminat catur, antaranya George Washington, Thomas Jefferson, James Madison, James Monroe, John Quincy Adam, Andrew Jackson, Abraham Lincoln, Ulysses S. Grant, Rutherford B. Hayes, James Garfield, sampailah kepada Franklin Roosevelt, Harry Truman, John F Kennedy, Jimmy Carter, Bill Clinton dan Barrack Obama.

Sebenarnya, tidaklah menghairankan jika catur diminati oleh kalangan yang terlibat dengan politik. Saya tidak mahu beranggapan ahli politik kebanyakannya memang ‘nerd’. Sebaliknya, apa yang saya nampak permainan politik dan permainan catur ada persamaannya.

Yang paling nyata, kedua-duanya adalah permainan strategi. Dalam permainan catur, anda perlu menjangka dan meramal pergerakan lawan. Seperti pertembungan Kasparov dan Karpov, ahli politik mesti belajar bersabar. Mengamati dan menimang, waktu yang sesuai untuk mematikan pihak lawan.

Dalam dunia politik juga begitu, silap jangka dan silap ramal, jenuh kutip air mata seorang diri. Anda harus bijak merancang apabila berdepan dengan lawan di papan catur. Malas berfikir, malas merancang akan menyebabkan anda cepat kecundang. Congaknya sama dalam politik. Malas berfikir, malas merancang, maka jawapannya, jenuhlah isi borang untuk jadi calon.

Jangan tersilap, saya tidak bermaksud mempolitikkan tulisan ini atau membenarkan tulisan ini mempolitikkan saya. Saya sekadar memberikan contoh. Hakikatnya catur bukan sahaja mempunyai kaitan dengan politik, malah dengan semua cabang kehidupan. Ia adalah permainan minda. Permainan kecerdasan yang menuntut tumpuan.

Apa benda dalam dunia boleh kita lakukan dengan jayanya tanpa kecerdasan dan tanpa tumpuan? Merempit sekalipun, kalau tanpa tumpuan, boleh menyebabkan seseorang tidur di longkang buat seketika atau buat selama-lamanya.

Jadi jika anda meminati catur, jangan teragak-agak meneruskan hobi itu. Tirulah macam saya dahulu, tidak segan silu mengarak papan catur ke sana ke mari mencari pasal – untuk kalah! Mengusung papan catur adalah satu kebanggaan ketika kanak- kanak seperti membimbit telefon baru.

Kepada ibu bapa yang anak-anaknya meminati catur, jangan larang dan jangan halang. Bagi galakan. Dalam dunia moden yang semakin memeningkan kepala ini, bermain catur juga sudah boleh dijadikan kerjaya. Ada banyak pertandingan dan kejohanan di pelbagai peringkat yang menawarkan hadiah lumayan.

Mana tahu suatu masa anak itu layak menyertai kejohanan terbuka Millionaire Chess (MC) yang hadiahnya lebih RM4 juta. Kalau makan gaji banyak puluh tahun juga hendak dapat duit sebanyak itu. Kalau hendak simpan baki duit gaji pula, mungkin memerlukan masa beberapa ratus tahun!

Dan kepada para isteri pula, jika suami meminati catur, tidak perlulah panjang-panjangkan muncung. Tidak perlu jugalah berceramah pagi petang dan siang malam. Sebaliknya, cubalah berterima kasih kepadanya. Sekurang-kurangnya dia cuma meminati catur. Kalau dia minat pada perempuan lain dan dia menggilainya sebagaimana dia menggilai permainan catur, sudah tentu lagi parah. Tak pasal-pasal terus checkmate!

Mengenai diri saya, sehingga sekarang saya masih meminati catur tetapi tidak seperti dahulu, di mana setiap kali hendak bermain catur terpaksa cari kawan, kemudian mungkin duduk berkumpul beramai-ramai.

Sekarang ini saya hanya bermain bersendirian. Ajak skrin laptop atau skrin telefon jadi lawan. Kalau kalah pun taklah malu sangat tetapi selalunya saya tidak akan biarkan diri sampai kalah. Apabila terasa macam hendak kalah, saya ‘off’kan. ‘Quit’.

Maka dengan itu keputusan pun menjadi seri. #dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!