Musim jerebu datang lagi!

Masalah jerebu telah menjadi fenomena tahunan di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Masalah jerebu telah menjadi fenomena tahunan di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
A
A
A

MASALAH jerebu bukanlah perkara baharu. Ia seolah-olah telah menjadi fenomena tahunan di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Mungkin ada yang tidak tahu, masalah jerebu bermula sejak tahun 1960 dan menyelusuri ke paru-paru rakyat Malaysia sekali lagi pada tahun 1997. Ketika itu, hampir seluruh negara diselubungi asap tebal selama hampir enam bulan sehinggakan kerajaan Malaysia terpaksa mengisytiharkan darurat.

Baru-baru ini berlaku lagi kebakaran hutan di Wilayah Riau, Indonesia yang menyebabkan berlakunya jerebu di negara tersebut.

Namun, pakar kaji cuaca meramalkan Malaysia terselamat daripada menerima tempias jerebu dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang susulan corak tiupan angin Timur Laut ketika ini tidak terarah ke negara ini.

Pakar kaji cuaca juga meramalkan bahawa sekiranya kebakaran hutan di negara itu berlarutan lebih lama, berkemungkinan jerebu tersebut akan dieksport ke negara kita sekitar Jun atau Ogos tahun ini.

Menerima perkhabaran itu, sedikit sebanyak memberi keredaan hati buat rakyat Malaysia. Namun, jerebu yang melanda di beberapa tempat di sekitar Selangor ketika ini adalah jerebu ‘Made in Malaysia’ yang berpunca daripada pembakaran terbuka.

Lebih parah lagi apabila masalah jerebu ini berlaku tatkala rakyat Malaysia berada pada episod duka di mana banyak aktiviti luar terbatas dek penangan Covid-19.

Golongan peniaga baru sahaja boleh menarik nafas lega kerana banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi tetapi jerebu yang melanda ini sekiranya dibiarkan berleluasa akan memberi impak buruk kepada ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Antara sektor ekonomi yang akan terjejas teruk dek jerebu adalah sektor pelancongan, pembinaan, perladangan dan pertanian yang menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Penurunan pelancong akan memberi kesan kepada perbelanjaan ke atas perniagaan perhotelan dan restoran, membeli-belah dan pengangkutan. Produktiviti negara juga pasti terkesan apabila kilang-kilang digesa untuk ditutup demi menjaga kesihatan pekerja.

Sekiranya ia berlaku seiringan dengan pandemik yang masih aktif, jerebu boleh meningkatkan risiko bahaya kepada kesihatan awam. Kajian penyelidik di beberapa negara di dunia menunjukkan terdapat banyak kes Covid-19 berlaku di kawasan udara yang tercemar.

Langkah

Apabila musim jerebu tiba, sudah tentu pihak kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengumumkan pemberian cuti kepada pelajar. Pemberian cuti itu mungkin dapat mengurangkan gundah ibu bapa yang risau anak mereka terdedah asap jerebu.

Namun, adakah dengan cara memberi cuti kepada pelajar berjaya menghalang mereka daripada terus menghirup udara jerebu di luar?

Ada pelajar endah tak endah dengan masalah jerebu dan terus beraktiviti di luar seperti biasa. Selain ibu bapa, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memantau dan menegur kanak-kanak yang bermain di luar rumah.

Satu lagi isu yang tidak kurang menariknya tatkala musim jerebu adalah dari segi kesukaran ibu bapa yang tidak mempunyai pengasuh. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka perlu membuat keputusan untuk cuti demi menjaga si anak.

Di sinilah proses kompromi antara majikan dan pekerja berlaku. Majikan perlu membenarkan pekerja bercuti untuk menjaga anak. Paling tidak, berikan kelonggaran bekerja dengan cara membenarkan mereka membawa anak ke tempat kerja atau kaedah bekerja fleksibel agar mereka tidak pergi ke klinik atau hospital untuk dapatkan sijil cuti sakit semata-mata untuk menjaga anak di rumah.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kerajaan perlu mengambil langkah pencegahan seperti membina bangunan blok terusan untuk memastikan tanah gambut sentiasa kekal berair dan tidak mudah terbakar, melindungi hutan daripada ditebang dan kawal ketat penggunaan cara pembakaran bagi pertanian serta perladangan.

Seperkara lagi, dasar yang melarang orang awam menghisap rokok di tempat awam seolah-olah hilang penangan pelaksanaannya. Keadaan jerebu yang teruk, ditambah pula asap rokok berkepul-kepul ke udara dan dipakejkan sekali dengan penularan Covid-19 sudah tentu mempercepatkan proses kerosakan paru-paru rakyat Malaysia.

Justeru, selain kerajaan, rakyat juga perlu memainkan peranan menyelamatkan negara tercinta ini.

* Mohd Rozaimy Ridzuan ialah pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!