Larangan merokok di pasar tani

 Program pelancaran Kempen Bebas Asap Rokok Pasar Tani Kekal Pekan disempurnakan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli, hari ini.
Program pelancaran Kempen Bebas Asap Rokok Pasar Tani Kekal Pekan disempurnakan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli, hari ini.
A
A
A

PEKAN- Sebanyak 37 pasar tani di negeri ini akan bebas sepenuhnya daripada asap rokok oleh peniaga dan pengunjung secara berperingkat menerusi larangan merokok di kawasan perniagaan terbabit.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Rosli Aw Da berkata, larangan ke arah itu akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini di semua pasal tani kekal dan terbuka bagi mewujudkan persekitaran selesa.

Menurutnya, ia bukan sahaja ditetapkan kepada peniaga, tetapi pengunjung juga perlu mematuhi peraturan tersebut.

“Ini kerana pengunjung ke pasar tani terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan usia, jadi larangan tersebut amat bertepatan.

“Saya berharap semua pihak dapat mematuhi peraturan itu kerana saya mahu pastikan pasar tani di negeri ini berada dalam keadaan selesa tanpa mengundang keadaan tidak selesa pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelancaran Kempen Bebas Asap Rokok Pasar Tani Kekal Pekan yang disempurnakan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli di Pasar Tani Kekal Pekan, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Pekan Dr Wan Rahim Wan Mohamad.

Pada program kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah itu, sebanyak 80 permit perniagaan diserahkan kepada peniaga Pasar Tani Kekal Pekan.

Artikel Berkaitan:

Rosli turut memaklumkan, pasar tani merupakan salah satu tempat memasarkan pelbagai produk pertanian segar.

Jelasnya, justeru ia menjadi lokasi pengunjung yang dalam keadaan selesa tanpa gangguan asap rokok.

Dalam perkembangan itu, Rosli berkata, Pasar Tani Kekal Pekan menjadi perintis kepada kempen bebas asap rokok sebelum pelancaran peringkat negeri akan diadakan di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya sudah membuat pelancaran mengenai kempen bebas merokok di tiga pasar tani kekal iaitu di Jerantut, Chini, Pekan dan Jengka, Maran.

“Kita juga jangkakan 33 lagi pasar tani terbuka akan dilakukan secara berperingkat hingga akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Zaliza berkata, usaha Fama membebaskan pasar tani kekal Pekan bebas daripada asap rokok adalah satu tindakan amat baik.

Katanya, langkah itu dapat mewujudkan persekitaran selesa.

“Selepas pasar tani saya berharap kempen yang sama dapat dilakukan di pekan sehari, pasar pagi dan pasar besar Pekan termasuk setiap program membabitkan perhimpunan masyarakat pelbagai peringkat umur.

“Saya yakin golongan perokok di daerah ini dapat menerima peraturan ditetapkan, sebagai contoh larangan merokok dalam restoran dan premis makanan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan sebelum ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!