Nilai agama 'vaksin' terbaik lawan rasuah
SHAH ALAM - Nilai agama yang kukuh dalam diri setiap individu mampu menjadi 'vaksin' terbaik untuk melawan sebarang unsur rasuah.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, usaha untuk memutuskan rantaian rasuah yang sudah membarah dalam masyarakat ketika ini perlu dimulakan dengan diri sendiri.
"Kalau nilai agama itu dimasukkan (dalam diri setiap individu), bukan sahaja Islam tetapi agama lain juga. Kristian dengan nilai agama mereka dan Hindu juga ada sistem nilai dia, unsur rasuah (pasti) dapat dilawan.
"Nilai (agama) inilah yang akan menjadi vaksin supaya antibodi kuat untuk lawan jika ada rasuah di sekeliling mereka," katanya ketika menjadi tetamu program 60 Minit Bersama 'Rasuah Busters' yang disiar secara langsung di stesen televisyen Alhijrah pada malam Selasa.
Program bual bicara yang berlangsung selama satu jam itu dikendalikan personaliti TV Alhijrah, Abu Talib Husin.
Mengulas lanjut, Hussamuddin yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters berkata, selari dengan kempen dari rakyat untuk rakyat itu, adalah menjadi tanggungjawab semua individu untuk bangkit melawan unsur tidak sihat berkenaan.
Katanya, sudah tiba masanya rakyat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk menolak rasuah.
"Kita amalkan SOP sendiri, maknanya setiap orang kena ada SOP iaitu 'jangan bayar atau terima rasuah, rasuah itu haram'. Kita kena terapkan perkara itu dalam diri," katanya.
Menurutnya, sekiranya rasuah yang sudah menjadi budaya dalam masyarakat tidak dibendung, ia bakal memberi implikasi besar kepada negara.
"Sejarah sudah membuktikan bahawa negara yang amalan rasuahnya tidak dibendung, negara itu akan mundur," katanya.
Pada 16 Januari lalu, Hussamuddin melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.
Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara tanpa sebarang agenda politik.
Terbaharu, kempen yang digerakkan Sinar Harian itu diperhebatkan lagi dengan kemunculan kempen 'Mak Kata Jangan’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!