Prestasi KDA FC akan bertambah baik, kata Aidil Sharin

Pemain KDA FC, Rabih Ataya (kiri) dikawal ketat oleh pemain Sabah FC pada aksi kedua Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Selasa. Foto KDA FC
Pemain KDA FC, Rabih Ataya (kiri) dikawal ketat oleh pemain Sabah FC pada aksi kedua Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Selasa. Foto KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak melihat prestasi anak-anak buahnya masih boleh dipertingkatkan lagi walaupun berjaya mengatasi Sabah FC 2-0 pada aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Selasa.

Menurutnya, perjalanan liga baru memasuki perlawanan kedua dan beliau percaya momentum dan keserasian Hijau Kuning akan bertambah lebih baik selepas mengharungi perlawanan demi perlawanan.

"Kami telah berusaha keras dan paling penting adalah tiga mata diperoleh pada perlawanan ini. Prestasi pemain-pemain KDA FC boleh ditingkatkan lagi selain berdepan jadual perlawanan yang agak padat.

"Selepas ini kami akan berdepan dengan Penang FC pula. Semua pasukan bukan mudah untuk ditewaskan termasuk Sabah FC yang turut dibantu pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah dan Bobby Gonzales," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, serangan balas yang dilakukan pasukan pelawat dilakukan dengan baik, namun barisan pertahanan dan tengah Hijau Kuning berjaya membaca dan mematikan langkah Sabah FC lebih awal.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, pertemuan bertemu KDA FC adalah satu pengalaman yang baik terutama kepada pemain-pemain mudanya bagi menghadapi aksi seterusnya dalam Liga Super.

Menurutnya, biarpun hanya meraih satu mata selepas dua perlawanan liga, beliau melihat masih ada perkara yang positif yang boleh dilihat apabila anak buahnya berusaha bangkit pada babak kedua dengan melakukan beberapa percubaan serangan ke kubu Hijau Kuning.

"Pada 20 minit awal, memang kami cuba bertahan dan menunggu kerana tahu corak serangan tuan rumah bagaimana, namun pengalaman luas dimiliki pemain KDA FC berjaya memanfaatkan setiap kesilapan yang dipamerkan oleh Sabah FC.

Artikel Berkaitan:

"Kami tetap puas hati dengan persembahan pemain-pemain tempatan malam ini walaupun masih gagal menurunkan pemain-pemain import. Jika mereka ada (empat pemain import) mungkin dapat merencanakan strategi yang lebih baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!