Tambah baik kesedaran wanita boleh jadi pemimpin
SHAH ALAM – Parti politik dan pentadbir di negara ini disaran menambah baik mengenai kesedaran pengetahuan wanita boleh menjadi seorang pemimpin dan menyelaraskannya dengan konsep agama.
Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar berkata, perkara berkenaan perlu ditambah baik kerana beliau melihat di negara ini kurang didedahkan mengenai penyertaan wanita dalam politik.
“Dua perkara ini saya nampak seolah-olah tidak selari. Kedua-dua perkara ini seharusnya diselaraskan,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-237 bertajuk ‘Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia: Realiti Atau Fantasi’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.
Wacana turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Penganalisis Politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Fadwah berkata, agama Islam juga tidak pernah menghalang seseorang wanita untuk menjadi pemimpin.
“Tetapi bagaimana untuk menjadi seorang perdana menteri yang dikatakan sesuatu yang dominan. Perkara ini perlu diperhalusi.
“Bukanlah platform saya untuk menjawab persoalan tersebut dan (perkara berkenaan) harus diselaraskan di peringkat mufti atau sebagainya untuk kita melihat tentang kesesuaian adakah Malaysia membenarkan seorang wanita menjadi perdana menteri,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut memberikan contoh di negara Islam lain pernah mempunyai pemimpin wanita seperti Benazir Bhutto di Pakistan dan Megawati Sukarnoputri di Indonesia
“Bagaimana penggunaan, penyesuaian dalam konteks agama Islam yang diaplikasi di Malaysia adakah sesuai. Jika sesuai, bagaimana penerangan-penerangan ini harus diberikan kerana kita tahu soal jantina, hukum semuanya memainkan peranan.
“Perkara ini kalau tidak ditangani sekarang akan menjadi sangat melarat serta sudah tentu keupayaan wanita untuk berani ke depan dan bergerak lebih jauh akan terbatas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!