Presiden Honduras didakwa seludup bertan-tan kokain ke AS

Juan Orlando Hernandez - Foto AFP
Juan Orlando Hernandez - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez didakwa membantu menyeludup bertan-tan kokain ke Amerika Syarikat (AS), kata seorang pendakwa raya AS pada Selasa ketika perbicaraan seorang penyeludup dadah.

Penyeludup dadah itu, Geovanny Fuentes, 50, mendakwa memberikan rasuah sebanyak AS$25,000 (RM61,897.50) dalam bentuk wang tunai kepada Presiden berkenaan dan pemberian tersebut menyebabkannya tidak boleh ditangkap, kata pendakwa raya, Jacob Gutwillig.

Beliau berkata demikian dalam hujah pembukaan terhadap perbicaraan Fuentes di sebuah mahkamah di New York.

Menurut Gutwillig, wang itu dibayar Fuentes kepada Hernandez, 52, dalam pertemuan yang diadakan pada tahun 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, Hernandez yang berkuasa sejak Januari 2014 menafikan dakwaan tersebut, lapor AFP.

Gutwillig berkata, seorang akauntan iaitu Jose Sanchez, akan memberitahu juri tentang ketakutannya apabila melihat Fuentes duduk bersama Hernandez.

Fuentes ditangkap ketika cuba meninggalkan Miami pada tahun 2020 dan telah mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan konspirasi menyeludup kokain ke AS dan dakwaan-dakwaan berhubung senjata.

Para pendakwa raya AS menganggap Hernandez kemungkinan berkomplot dengan Fuentes menyeludup bertan-tan kokain ke AS.

Artikel Berkaitan:

Adik Presiden itu, Tony Hernandez, 42, telah disabitkan kesalahan menyeludup dadah dalam perbicaraan di sebuah mahkamah pada tahun 2019.

Hukuman ke atas adiknya itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali dan Tony dijadualkan untuk menerima hukuman pada 23 Mac ini.

Dia kemungkinan dipenjarakan seumur hidup. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!