Perak bakal lancar blueprint, jadikan negeri 'lubuk emas'

Saarani pada sidang akhbar pada Rabu.
Saarani pada sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak akan melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) dalam usaha menjadikan negeri ini 'lubuk emas' dari segi pembangunan ekonomi dan pendapatan menjelang 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perincian pengisian Blueprint Perak 2021-2030 itu kini dalam fasa akhir untuk disiapkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) sebelum dapat dibentangkan ke Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bagi tujuan kelulusan.

"Jika semuanya selesai, insya-ALLAH pada 29 Mac ini akan kita umumkan, di peringkat ini ia masih belum dimuktamadkan, IDR sedang bertungkus lumus ke arah itu supaya ia dapat dilancarkan pada bulan ini juga.

"Keperluan menyediakan rangka tindakan ini adalah wajar bagi memastikan hala tuju pembangunan kita dalam meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat tidak tergelincir serta lebih penting tepat ke kumpulan sasaran yang benar-benar memerlukan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Moh Mengopi di Taman Seri Semarak di sini sempena Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) di daerah Kerian pada Rabu.

Beliau berkata, pengisian blueprint itu nanti akan menilai semua aspek termasuk langkah untuk menambah sumber pendapatan baharu kerajaan negeri bagi membantu sektor-sektor yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Katanya, sebagai penambahbaikan, kerajaan negeri juga akan membuat penilaian dari masa ke masa bagi tempoh satu tahun atau kajian separuh penggal agar pelan tindakan dibuat selari dengan keperluan mendesak.

"Dalam masa kita bentangkan blueprint itu nanti, ia tidaklah sempurna sebaliknya bersifat dinamik, kita akan ubah suai (mengikut keperluan).

"Matlamat akhirnya nanti kita nak jadikan Perak maju dan makmur, negeri yang diharapkan sebagai lubuk emas, menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang kita tengok di Selangor dan Pulau Pinang sudah sesak dengan banyak sektor industri dibuka. Mengapa tidak Perak membuka ruang kepada kilang dan industri baharu serta usahawan untuk datang ke sini, ia pasti akan merancakkan pembangunan di sini nanti,” katanya.

Saarani (kanan) bersama moderator Syamsul Husain sempena program Moh Mengopi di Taman Seri Semarak, Parit Buntar pada Rabu.
Saarani (kanan) bersama moderator Syamsul Husain sempena program Moh Mengopi di Taman Seri Semarak, Parit Buntar pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!