Stesen Tangkak rekod bacaan IPU tidak sihat
JOHOR BAHRU - Stesen Tangkak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat iaitu 160 setakat jam 10 pagi Rabu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, IPU di enam stesen bacaan udara di negeri ini mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana manakala hanya satu stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik.
Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melalui cawangannya di Muar telah ke lokasi Stesen Tangkak bagi melakukan siasatan dan pemantauan terhadap kualiti udara di situ.
"Hasil siasatan mendapati terdapat kebakaran sisa pokok dan sampah di hadapan Stesen Tangkak. Pihak Majlis Daerah Tangkak sedang menjalankan kerja pemadaman dan pembersihan tapak dengan menimbus kawasan tersebut dengan tanah bagi memadamkan kebakaran.
"Status semasa adalah tiada api dan asap lagi di tapak. Pemantauan lanjut akan terus dijalankan oleh JAS cawangan Muar. Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Vidyananthan berkata, JAS Johor bersama agensi-agensi lain sentiasa memantau status kualiti udara semasa melalui lapan stesen automatik JAS dan ramalan cuaca melalui Jabatan Meteorologi Malaysia.
"Kerajaan negeri juga mengingatkan kepada semua pemilik tanah agar memantau tanah masing-masing terutama kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, kawasan pertanian, ladang, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah, hutan, belukar dan kawasan perindustrian.
"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuklah terhadap pemilik tanah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!