Pemerintahan Medan Timur kini miliki mahkamah tentera sendiri
KUCHING - Pemerintahan Medan Timur kini mempunyai bangunan Mahkamah Tentera (MT) sendiri bagi memudahkan urusan yang melibatkan perbicaraan bagi pasukan-pasukan di bawah pemerintahannya.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, walaupun mahkamah tentera itu milik tentera darat, namun ia juga boleh digunakan oleh tentera laut dan tentera udara bagi tujuan perbicaraan dari semasa ke semasa.
“Selama ini, apabila adanya keperluan untuk mengadakan perbicaraan mahkamah tentera, formasi dan pasukan di Pemerintahan Medan Timur ini terpaksa menyediakan tempat atau bilik perbicaraan secara ad-hoc (tidak kekal).
“Atas dasar itu, wajar diwujudkan bangunan tetap mahkamah tentera bagi Pemerintahan Medan Timur ini sebagaimana yang telah ada di Kompleks Mahkamah Tentera, Kem Sirusa di Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mahkamah Tentera itu di Kem Penrissen di sini.
Hadir sama, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima Briged Ketiga Infantri (3 Bgd) Brig Jeneral Datuk Azhar Ahmad.
Dalam pada itu, beliau turut mengadakan kunjungan ke Rumah Keluarga Tentera di Kem Semenggo yang telah siap sepenuhnya dan telah mula diduduki sejak September tahun lepas selain melawat anggota-anggota serta anak anggota yang kurang upaya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!