Penganggur didakwa bunuh warga emas OKU
ALOR SETAR - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang warga emas orang kelainan upaya (OKU) pada 23 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, Wan Mohd Munir Wan Yusoff, 30-an, didakwa membunuh Chua Hock Soon @ Chua Leok Eng,70, yang ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di hadapan sebuah sekolah di Jalan Suka Menanti, di sini.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor.
Siti Norhidayah menetapkan sebutan kes pada 14 Jun depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Fatin Dalilah Khalid mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 23 Februari lepas, seorang warga emas ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah pada tubuhnya di hadapan pintu pagar sebuah sekolah di Jalan Suka Menanti.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima makluman berlaku satu kejadian pergaduhan di lorong kanan Lebuhraya Sultan Abdul Halim menghala ke pusat bandar Alor Setar berhadapan Sekolah Rendah Agama Persendirian Alor Setar (SRIDA) lebih kurang 4.30 petang pada 23 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!