SBEZ Kota Perdana pemangkin pulih semula ekonomi wilayah utara

Tengku Zafrul (berdiri tengah) dan Muhammad Sanusi (berdiri kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah. -Foto Bernama
Tengku Zafrul (berdiri tengah) dan Muhammad Sanusi (berdiri kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Potensi Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk menarik pelaburan baharu akan memangkin momentum dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi pasca pandemik Covid-19 khususnya di wilayah utara, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kelebihan dimiliki bandar sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah itu adalah ia merupakan laluan utama perdagangan rentas sempadan di wilayah utara.

"Laluan utama perdagangan rentas sempadan di utara dengan anggaran nilai kira-kira RM40 bilion setahun harus dimanfaatkan semaksimum mungkin," katanya pada majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah di SBEZ antara Hartalega NSM Sdn Bhd dan Northern Gateway Free Zone Sdn Bhd di sini pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Northern Gateway Free Zone adalah anak syarikat Northern Gateway Sdn Bhd iaitu pengusaha utama SBEZ yang juga entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Tengku Zafrul berkata, pembangunan komponen hartanah di SBEZ Kota Perdana merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Kewangan untuk menjenamakan semula konsep pembangunan di bandar sempadan Bukit Kayu Hitam.

"Kerja pembangunan infrastruktur utama dan pembinaan depoh lori dan pelepasan dalaman di hab logistik darat SBEZ Kota Perdana akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap pertengahan tahun 2022," katanya.

Beliau berkata, Northern Gateway dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah harus memberi tumpuan khusus untuk meneroka peluang pelaburan baharu terutama dalam sektor ekonomi sekunder berimpak tinggi dibangunkan di SBEZ Kota Perdana untuk tingkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Dalam konteks ini, sumber bahan mentah dan komoditi dari negara jiran yang kini dieksport terus ke negara pengimport utama seperti China, Korea Selatan dan Jepun melalui Pelabuhan Pulau Pinang yang boleh diproses dan dijadikan sebagai produk nilai tambah tinggi bagi pasaran eksport mengguna pakai teknologi berdaya maju," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, SBEZ Kota Perdana berada di landasan yang betul untuk mengeksplotasi kelebihan sedia ada yang dimiliki Malaysia dan Thailand seperti sumber bahan mentah serta kemudahan infrastruktur.

Menurutnya, faktor kelebihan lain ialah geo-strategik memandangkan SBEZ Kota Perdana terletak di laluan Rangkaian Lebuh Raya Asia 2 (AHN 2) menghubungkan Singapura dan Thailand serta laluan saluran paip gas Trans Thai-Malaysia.

Justeru ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab penting dalam rantaian bekalan global bagi industri pembuatan khususnya peranti perubatan dan peralatan penjagaan kesihatan, produk makanan serta komponen automotif, elektronik dan elektrik, katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, bagi menarik pelaburan ke SBEZ, kerajaan negeri Kedah akan membina loji rawatan air di Kodiang untuk memastikan keperluan air mencukupi ke kawasan zon ekonomi tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!