Sukma: MSN Kelantan tubuhkan pusat pelayaran
KOTA BHARU – Sebuah pusat latihan sukan pelayaran ditubuhkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan bagi membuat persiapan awal Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pusat latihan tersebut bertempat di Pantai Geting, Tumpat dan bermula sejak 1 Mac lalu.
“Kita harap sukan pelayaran ini akan jadi fokus utama untuk kita capai pingat dalam Sukma nanti. Insya-ALLAH.
“MSN Kelantan juga membuat pembelian sebuah ‘coach boat’ dan tiga ‘optimist boat’ untuk kegunaan pusat latihan sukan pelayaran tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini, pada Rabu.
Menurutnya, seramai 20 atlet iaitu murid serta pelajar sekolah terpilih untuk mengikuti latihan di bawah kendalian jurulatih berpengalaman iaitu Presiden Persatuan Pelayaran Kelantan, Shaharin Ismail.
Katanya, murid terlibat juga merupakan pelajar dua buah sekolah yang terletak di kawasan Getting, Tumpat.
“Jumlah tersebut melibatkan 10 atlet dari Sekolah Kebangsaan Sungai Tapang dan selebihnya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Getting.
“Kita akan terus lakukan usaha mencari bakat-bakat baharu dalam sukan ini melalui pelan pembangunan atlet yang ada. Mereka yang ada kini pun sudah berkaliber dalam sukan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!