Maqis gagalkan cubaan seludup 300kg mangga dari Thailand
ALOR SETAR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah mematahkan cubaan membawa masuk buah mangga dari Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung, di sini pada Isnin.
Pengarah Maqis Kedah, P Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebuah lori dari negara jiran cuba membawa masuk 300 kilogram (kg) buah mangga tanpa mematuhi syarat import ditetapkan.
Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan buah mangga itu dianggarkan RM993 dan kesemua barangan dagangan dirampas untuk tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan rutin pegawai Maqis, seberat 300kg buah mangga yang cuba dibawa masuk itu tidak mematuhi syarat import sepertimana yang telah ditetapkan iaitu gagal mematuhi Perakuan Penggredan, Pembungkusan dan Perlabelan sebagaimana yang dinyatakan dalam sijil 3P.
"Kegagalan untuk mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Lily Rosalinda berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.
Lily berkata, pihaknya akan terus memperkasa tindakan penguatkuasaan undang-undang di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!