Ekzos bising: Jangan sita, saman sudah memadai
SHAH ALAM- Penguatkuasaan saman terhadap pemilik kenderaan yang mengubahsuai ekzos lebih memadai untuk menyedarkan mereka daripada melakukan kesalahan tersebut berbanding tindakan menyita kenderaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut akan menyukarkan pemilik kenderaan sekiranya disita kerana berkemungkinan ia merupakan satu-satunya kenderaan untuk keluar bekerja.
“Saya memuji usaha dilakukan PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang mahu memastikan pemilik kenderaan mematuhi undang-undang, tidak membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam dan membendung pencemaran alam sekitar. Undang-undang perlu dipatuhi dan dihormati. Bagaimanapun polis antara pasukan penguat kuasa yang mempunyai budi bicara cukup tinggi di negara ini.
“Saya berharap penguatkuasaan ini dapat dikaji sepenuhnya termasuk pihak bengkel yang menjual ekzos. Lagipun, bengkel motosikal juga mahu beroperasi tatkala ekonomi negara kini dalam keadaan tidak baik,” katanya di halaman Facebooknya pada Rabu.
Pada 22 Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Katanya, ia di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan baik dan perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!