Bung Moktar terima suntikan vaksin Covid-19
KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin antara kumpulan kedua jemaah menteri negeri yang menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada Rabu.
Turut menerima suntikan dalam kumpulan itu ialah Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menerima suntikan itu selepas menghadiri mesyuarat Kabinet negeri di Pusat Pentadbiran kerajaan Negeri (PPNS).
Bung Moktar bersama rombongan tiba di hospital kira-kira jam 1.30 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera sebagai kaedah pendaftaran menerima vaksin Covid-19.
Sebelum diberi suntikan, mereka turut diberi penerangan oleh doktor yang bertugas berhubung suntikan vaksin itu.
Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag meminta orang ramai tidak bimbang terhadap kesan sampingan selepas menerima vaksin itu.
"Sebelum suntikan, saringan sejarah kesihatan akan dilakukan terhadap individu sebelum disahkan layak menerima vaksin.
"Ini bagi memastikan individu yang tidak sesuai menerima vaksin tidak diberi suntikan vaksin Covid-19," katanya selepas menerima suntikan vaksin itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!