‘Kerabat’ didakwa beri gelaran Datuk

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana didakwa memberi gelaran Datuk palsu.
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana didakwa memberi gelaran Datuk palsu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki mengaku kerabat diraja Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dakwaan memberikan gelaran Datuk kepada seorang penjawat awam pada tahun lalu.

Tertuduh, Raja Yusuff R Ismail, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, warga emas terbabit didakwa memberi gelaran yang tidak diiktiraf di bawah Seksyen 5B(1) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah daripada salah guna) 1977 dengan menyerahkan satu kad keahlian Istana Balai Besar Nama: Dato Md Lazim Ismail Nombor Ahli: 0070 kepada Md Lazim Ismail, 48.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bukit Tegayong Kok Lanas di sini antara jam 10 pagi hingga 5 petang pada awal Februari 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 5B(4) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah daripada salah guna) 1977 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5B(6) enakmen yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum tiga tahun dan denda minimum RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath mencadangkan jaminan RM40,000, namun peguam bela, Tara Singh Delip memohon jaminan terhadap anak guamnya itu dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja.

“Tertuduh memiliki empat isteri dan 12 anak serta ketumbuhan pada prostat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh bagaimanapun tidak membayar jaminan itu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 April.

Sebelum ini, tertuduh didakwa pada lima pertuduhan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Mahkamah Majistret Tumpat dan Kuala Krai membabitkan kesalahan jenayah komersial menyamar kerabat untuk menipu selepas ditahan pada 27 Februari lalu.

Kesemua kes masih menunggu tarikh sebutan semula pada April depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!