Majikan diberi tempoh sehingga 31 Mac saring pekerja asing

M Saravanan (berdiri, kiri) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (berdiri, kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani MOU antara Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed (duduk, kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan)(MEDEC) mewakili Sekretariat PROTEGE Datuk Zamri Salleh (duduk, kanan) pada Majlis Menandatangani MOU antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Rabu. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Majikan diberi tempoh sehingga 31 Mac ini untuk melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja asing masing-masing di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap majikan yang masih gagal berbuat demikian selepas tempoh berkenaan.

“Kita akan memberi ruang kepada majikan sehingga hujung bulan ini dan selepas 31 Mac kita akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik di antara KSM dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sebelum ini, program saringan Covid-19 bagi pekerja asing dihadkan kepada enam negeri dalam kategori zon merah, namun melihat keberkesanan program itu dalam membendung penularan pandemik berkenaan, kerajaan memutuskan ia diperluaskan ke semua negeri.

Saravanan berkata, berdasarkan data sedia ada, sejumlah 1.7 juta pekerja asing yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lebih satu juta daripadanya telah melakukan saringan di bawah program tersebut.

Program saringan itu dilaksanakan Perkeso dengan kerjasama klinik-klinik swasta di seluruh negara, yang menjalankan ujian saringan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengulas lanjut Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mengenal pasti seramai 30,000 pekerja asing tanpa izin di bawah Pelan Rekalibrasi merangkumi Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Beliau berkata, pelan itu diperkenalkan supaya kerajaan mampu mengesan pekerja asing yang tidak sah bagi mengekang penularan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!