Barghouti jadi calon Presiden Palestin dari dalam jel Israel?

Pemimpin kanan Fatah, Marwan Barghouti (tengah) menjalani lima hukuman penjara seumur hidup di penjara Israel kerana peranannya dalam beberapa serangan maut ke atas tentera rejim Zioinis. - Foto AFP
Pemimpin kanan Fatah, Marwan Barghouti (tengah) menjalani lima hukuman penjara seumur hidup di penjara Israel kerana peranannya dalam beberapa serangan maut ke atas tentera rejim Zioinis. - Foto AFP
A
A
A

PEMIMPIN kanan dan paling popular parti Fatah, Marwan Barghouti yang kini dipenjarakan di Israel dilapor mahu bertanding dalam pilihan raya Presiden Palestin yang akan diadakan pada 31 Jun depan.

Barghouti yang ditangkap oleh rejim Zionis pada April 2002 ketika ini menjalani lima hukuman penjara seumur hidup setelah didapati bersalah kerana peranannya dalam beberapa serangan maut sewaktu menentang pendudukan Israel di Palestin.

Pemimpin popular yang berusia 61 tahun itu dikatakan sebagai Ahli Parlimen Palestin pertama yang pernah dipenjarakan di Israel dan beliau telah dijel selama lima tahun ketika masih berumur 18 tahun.

Menurut bekas Duta India ke Arab Saudi, Oman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Talmiz Ahmad,Barghouti dilihat sebagai seorang wira tempatan kerana beliau pernah berjanji untuk memulihkan semangat penentangan terhadap Israel bagi memenuhi agenda Palestin.

Desas-desus pemimpin Fatah itu mahu bertanding sebagai calon Presiden Palestin sudah kedengaran sejak Disember 2019 lagi dengan alasan parti Fatah memerlukan seorang pemimpin yang baharu.

Ketika ini, Pengerusi Fatah, Farouk Kaddoumi telah berusia 89 tahun manakala Presiden Palestin iaitu Mahmud Abbas pula berumur 85.

Abbas dicalonkan oleh Fatah dalam pilihan raya Presiden Palestin pada tahun 2004 serta memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Portal berita Arab News pernah melaporkan bahawa Abbas dipilih menjadi Presiden Palestin pada 2004 melalui pilihan raya untuk penggal pemerintahan selama empat tahun selepas bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Abbas kekal memegang jawatan itu sehingga sekarang dengan memberikan alasan logistik, politik dan keselamatan yang menyebabkan pilihan raya Palestin tidak dapat diadakan.

Bagaimanapun, pada Januari lalu, beliau mengumumkan tarikh pilihan raya Presiden itu diadakan pada 31 Jun depan, pilihan raya Perundangan bakal berlangsung pada 22 Mei dan pilihan raya Majlis Kebangsaan Palestin pada 31 Ogos 2021.

Kali terakhir pilihan raya Perundangan bagi memilih 132 anggota diadakan ialah pada tahun 2006 manakala pilihan raya Majlis Kebangsaan Palestin iaitu sebuah badan pembuat dasar PLO tidak pernah mengadakan pemilihan undian sebelum ini.

Undang-undang Asas Palestin membenarkan para banduan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden dan Perundangan kerana pemimpin-pemimpin Palestin yang popular selalunya adalah mereka yang dipenjarakan oleh Israel.

Salah seorang pemimpin itu ialah Barghouti.

Gambar fail menunjukkan seorang pelukis menyiapkan lukisan potret pemimpin kanan Fatah, Marwan Barghouti di tembok sempadan dekat pusat pemeriksaan yang dikawal Israel antara Baitulmuqaddis dengan Ramallah, Palestin. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pelukis menyiapkan lukisan potret pemimpin kanan Fatah, Marwan Barghouti di tembok sempadan dekat pusat pemeriksaan yang dikawal Israel antara Baitulmuqaddis dengan Ramallah, Palestin. - Foto AFP

Pada 20 Januari lalu, agensi berita Anadolu Agency melaporkan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berkata, Abbas akan kekal menjadi calon parti Fatah dalam pilihan raya Presiden itu.

Namun, hasrat pemimpin popular itu mahu bertanding sebagai calon Presiden menyebabkan Abbas seperti dilaporkan oleh portal berita The Arab Weekly, telah menghantar Menteri Hal Ehwal Awam Palestin yang juga anggota Jawatankuasa Pusat Fatah, Hussein al-Sheikh bertemu dengan Barghouti di penjara Israel.

Tujuan kunjungan Sheikh itu adalah untuk memujuk Barghouti supaya menarik balik hasratnya kerana jika beliau benar-benar mahu bertanding, ia mungkin akan menjejaskan kedudukan Abbas untuk dipilih semula sebagai Presiden Palestin.

Abbas dilaporkan menawarkan beberapa insentif kepada Barghouti untuk menarik diri dan sebagai pertukaran beliau akan dinamakan sebagai Ketua Blok Fatah dalam persidangan Parlimen akan datang tetapi tawaran tersebut ditolaknya.

Dalam pada itu, menurut agensi berita Shehab baru-baru ini, seorang anggota Jawatankuasa Pusat Fatah dan sepupu kepada Arafat telah mengumumkan sokongannya terhadap Barghouti.

Pada tahun 2005, Barghouti pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Presiden tetapi kemudian menarik diri disebabkan oleh tekanan daripada beberapa pegawai Fatah yang menggunakan alasan perpaduan parti kerana ketika itu, Abbas bertanding atas tiket Fatah.

Sehubungan itu, menurut portal berita Middle East Monitor, jika beliau menang dalam pilihan raya Presiden Palestin, pemimpin popular Fatah itu kemungkinan akan membawa masalah penderitaan tahanan Palestin untuk perhatian masyarakat antarabangsa.

Jika beliau memenangi pilihan raya Presiden seperti tinjauan pendapat umum baru-baru ini, Barghouti dijangka membentuk semula perjuangan penduduk Palestin dengan memberi kesan yang besar kepada Israel.

Pemimpin popular itu juga mungkin melantik seorang daripada anggota Majlis Perundangan untuk mengetuai kerajaannya jika beliau menang pilihan raya Palestin.

Kemungkinan juga Israel dan Amerika Syarikat (AS) terpaksa berurusan dengannya secara terus di dalam penjara rejim Zionis atau beliau dipaksa dibebaskan dari jel selepas beliau memenangi pilihan raya Presiden itu.

Kira-kira 2.6 juta daripada 2.8 juta pengundi Palestin dilaporkan sudah berdaftar untuk mengundi dalam pilihan raya tersebut dengan tarikh pendaftaran calon-calon yang akan bertanding ialah antara 20 dan 31 Mac ini. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!