Guna duit i-Sinar untuk jaga ibu

Umi Balkis (kanan) bersama ibunya yang kini beransur pulih daripada masalah tulang belakang dan menggunakan wang pengeluaran i-Sinar bagi menampung perbelanjaan.
Umi Balkis (kanan) bersama ibunya yang kini beransur pulih daripada masalah tulang belakang dan menggunakan wang pengeluaran i-Sinar bagi menampung perbelanjaan.
A
A
A

IPOH - Pengeluaran caruman akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi skim i-Sinar memberi kelegaan kepada seorang wanita yang sedang menjaga ibunya.

Umi Balkis Zahari Man, 39, yang tinggal di Taman Sri Tambun berkata, RM10,000 yang dikeluarkan pada Januari lalu sebahagiannya digunakan untuk menanggung perbelanjaan perubatan ibunya, Zaiyah Yazit, 71, yang menghidap penyakit darah tinggi.

Umi Balkis berkata, sekitar dua bulan lalu, ibunya terlantar akibat keretakan tulang belakang selepas terjatuh namun beransur pulih sedikit demi sedikit.

“Saya gunakan sebahagian duit i-Sinar ini untuk simpanan bagi perbelanjaan harian saya dan ibu memandangkan saya tidak bekerja atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Sebahagian lagi saya buka akaun Tabung Haji dan simpanan Amanah Saham Bumiputera.

“Saya sedar pengeluaran ini akan menjejaskan tabungan masa depan tetapi disebabkan keadaan yang mendesak terpaksa juga dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini jumlah pengeluaran RM10,000 sudah mencukupi, namun jika kerajaan mempunyai perancangan lain dia tidak menolak untuk mengeluarkan lagi simpanan tersebut.

Umi Balkis berkata, pengeluaran i-Sinar sangat membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19 terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!