Belanjakan duit i-Sinar dengan bijak: AKPK
KUANTAN - Keputusan kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan caruman 10 peratus daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cukup melegakan terutama bagi mereka yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.
Orang ramai yang menerima atau bakal menerima wang melalui inisiatif i-Sinar itu dituntut agar merancang dan membelanjakannya secara bijak dengan mengutamakan kepada keperluan yang lebih penting.
Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor berkata, pencarum perlu mempunyai matlamat dan tujuan jelas dalam menggunakan wang tersebut.
Menurutnya, elakkan membuat keputusan berdasarkan ikut hati dan emosi yang akhirnya merugikan diri sendiri.
"Inisiatif pengeluaran i-Sinar amat ditunggu-tunggu dan memberikan kelegaan bagi mereka yang terjejas atau hilang sumber pendapatan, namun pengeluaran dari dana utama persaraan ahli itu perlu dibelanjakan sebaik mungkin.
"Sebelum seseorang pencarum membuat keputusan mengeluarkan caruman melalui i-Sinar, beberapa perkara penting perlu diteliti iaitu pastikan agar wang yang dikeluarkan dapat dioptimumkan penggunaannya dan tiada penyesalan di kemudian hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Rizauddin berkata, pencarum kena jelas tujuan pengeluaran dibuat supaya ia tidak disalahgunakan untuk tujuan tidak berfaedah atau bagi memenuhi kehendak semata-mata.
"Pada masa sama, pencarum perlu membuat perkiraan teliti jumlah sebenar pengeluaran yang diperlukan dengan merangka bajet bulanan keluarga terlebih dahulu bagi memastikan jumlah yang perlu ditampung (sekiranya ada) melalui pengeluaran i-Sinar setiap bulan.
"Pastikan wang tersebut digunakan untuk tujuan produktif dan sekiranya ia digunakan sebagai modal perniagaan, elak gunakan kesemuanya kerana sekiranya pelan perniagaan tidak menjadi seperti yang diharapkan, mereka masih mempunyai sebahagian wang yang dikeluarkan itu untuk menyara hidup," katanya.
Tambahnya, juga penting untuk orang ramai memahami impak pengeluaran terhadap dana persaraan itu.
"Pengeluaran caruman yang dilakukan hari ini memberi impak jangka panjang kepada dana persaraan pencarum.
"Sebagai contoh, jika pencarum berusia 30 tahun dan memilih untuk mengeluarkan RM10,000 daripada akaun satu KWSP itu, jumlah pengurangan dana persaraan mereka pada usia 55 tahun sebanyak RM33,864 dan bukannya RM10,000 berdasarkan pulangan dividen lima peratus setahun selama 25 tahun," katanya.
Menurutnya, bagi mereka yang hilang pekerjaan dan tidak dapat mencarum dalam jangka masa terdekat, impak terhadap dana persaraan akan menjadi lebih besar.
Katanya, orang ramai juga disaran merancang dan berusaha mencari pendapatan alternatif kerana wang pengeluaran i-Sinar adalah pendapatan yang bersifat sementara dan tidak kekal lama.
"Juga perlu diingat, ketika pencarum gembira menerima wang i-Sinar ini, ada pihak-pihak lain menunggu peluang untuk mengambil kesempatan terhadap mereka.
"Waspada dengan jerat 'scammer' yang sentiasa menunggu peluang dan ruang untuk melakukan penipuan demi mengaut keuntungan," katanya.
Mohd Rizauddin berkata, sebelum ini satu aplikasi palsu pengeluaran i-Sinar yang kononnya memberi panduan kepada ahli untuk membuat pengeluaran dan boleh memeriksa status pengeluaran telah dikesan.
"Justeru, bagi mengelakkan ditipu, sentiasa semak maklumat terkini melalui laman sesawang atau media sosial rasmi KWSP.
"Elakkan berurusan dengan mana-mana pihak yang menawarkan iklan barangan atau pelaburan melalui media sosial atau mana-mana laman sesawang meragukan bagi mengelak ditipu," katanya.
Katanya, bagi mereka yang mempunyai masalah untuk menjelaskan bayaran hutang diminta untuk menemui pihak AKPK untuk mendapatkan bantuan nasihat dan peluang penyelesaian yang disediakan.
"Bebanan hutang akan menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar diurus terutama dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!