Yang mana pilihan pembaca dalam soal PRU15...
[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Kaji selidik bersama yang dijalankan oleh akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Daily mendapati, pembaca Melayu dan Cina cenderung untuk memilih Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas era pandemik Covid-19 selesai.
Mereka yang memilih supaya PRU15 diadakan selepas era pandemik Covid-19 adalah sekitar 42.26 peratus atau 10,259 responden, manakala 29.17 peratus responden atau 7,081 pembaca pula bersetuju jika PRU15 diadakan sebaik sahaja tempoh darurat tamat.
Sejumlah 10.68 peratus atau 2,593 daripada responden yang mengambil bahagian di dalam kaji selidik itu tidak setuju sama sekali.
Sementara itu, 17.89 peratus atau 4,344 responden berpendapat bahawa pilihan raya patut diadakan pada tahun 2023 iaitu tempoh di mana penggal sekarang berakhir secara automatik.
Bagaimanapun responden berbangsa Cina dan Melayu berbeza pendapat dalam soal sama ada pilihan raya mampu menyelesaikan ketidakstabilan politik.
Majoriti masyarakat Cina tidak merasakan yang pilihan raya umum akan mampu menyelesaikan masalah kestabilan politik negara.
Walaupun lebih daripada separuh yang mengambil bahagian di dalam kaji selidik ini (53.71 peratus) berpendapat bahawa pilihan raya adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik, majoriti pembaca Sin Chew tidak bersetuju.
Mereka sebaliknya menyarankan kerajaan memperkenalkan undang-undang antilompat parti.
Malah mereka berpendapat ahli-ahli Dewan Rakyat akan terus melompat parti selepas pilihan raya umum dan oleh itu, kerajaan patut berusaha untuk memperkenalkan undang-undang antilompat parti untuk menghalang ini daripada terus berlaku.
Mereka juga berasakan, jika berlaku tindakan berpaling tadah, satu pilihan raya kecil patut diadakan untuk memilih wakil rakyat baharu.
Kedua-dua responden daripada kalangan pembaca Melayu dan Cina iaitu 84.3 peratus, bersetuju bahawa ketidakstabilan politik telah menghambat progres, manakala 15.71 peratus lagi tidak bersetuju.
ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: Ramai belum buat keputusan
DAP dan UMNO masih menjadi pilihan utama pembaca
Prestasi tinggi: Pembaca pilih KJ
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!