Jakel beri pulangan wang tunai 10 peratus

Mohamed Faroz
Mohamed Faroz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jakel melanjutkan kempen 'Jakel Cashback Deals' sehingga 13 April depan bagi memberi peluang kepada pelanggan menikmati pulangan tunai sebanyak 10 peratus bagi setiap pembelian minimum RM100.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, sambutan menggalakkan daripada pelanggan sejak dilancarkan 12 Februari lalu menyebabkan promosi yang sepatutnya berakhir pada 14 Mac dilanjutkan sebulan lagi.

Menurutnya, pelanggan akan menerima pulangan tunai dengan segera selepas pembelian walaupun pembayaran dibuat menggunakan kad kredit atau aplikasi tanpa tunai seperti Grabpay atau Boost.

"Ramai yang teruja dengan pulangan wang tunai selain menikmati tawaran diskaun dan harga tawar menawar daripada Jakel. Berbelanja RM500 dan mendapat pulangan RM50.

"Sejak kempen dilancarkan, ia telah menarik lebih 100,000 pelanggan dengan sejumlah RM4.27 juta wang tunai telah dikembalikan kepada pelanggan," katanya pada sidang akhbar Kempen Promosi Cashback Deals di Jakel Mall di sini pada Rabu.

Justeru, beliau mengajak orang ramai merebut peluang tersebut yang kempen tersebut hanya diadakan bagi tahun ini.

"Biasanya kita tawarkan diskaun dan rebat dalam bentuk baucar tapi kali ini secara pulangan tunai. Ia adalah strategi pelaburan kita untuk menggalakkan orang berbelanja walaupun kita terpaksa korbankan keuntungan tapi tidak mengapa ia sebagai menghargai pelanggan.

"Waktu promosi juga bersesuaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana orang berbelanja untuk kegunaan majlis tunang dan nikah dengan produk selesa serta berkualiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Faroz menunjukkan koleksi kain sampin keluaran Jakel.
Mohamed Faroz menunjukkan koleksi kain sampin keluaran Jakel.

Beliau berkata, Jakel berjaya mengutip hasil RM50 juta setakat ini dan menyasarkan kutipan keseluruhan sebanyak RM150 juta sehingga tempoh kempen berakhir.

Selain itu katanya, Jakel turut menawarkan keluaran fabrik dan koleksi terbaharu bagi persiapan Ramadan dan Aidilfitri di bawah kempen Jakel Barulah Raya 2021.

"Disebabkan tahun lepas tidak ramai yang membuat persiapan Hari Raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun ini sambutan dijangka lebih meriah dengan koleksi terbaru baju kurung, baju Melayu, kurta dan pakaian kanak-kanak.

"Untuk tahun ini, lebih 100 rekaan baju siap pelbagai warna dan corak pastinya menepati citarasa pelanggan dengan menyediakan saiz dari XS sehingga 5XL untuk rekaan terpilih," katanya.

Selain koleksi pakaian siap, barang perhiasan rumah turut disediakan seperti langsir, permaidani, cadar dan aksesori persiapan rumah turut disediakan bagi persiapan Aidilfitri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!