Prestasi tinggi: Pembaca pilih KJ
[LAPORAN KHAS] MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan Menteri Penyelaras Program Vaksin Covid-19 Kebangsaan, menerima undi tertinggi daripada para pembaca Sinar Harian dan Sin Chew Daily sebagai Menteri Kabinet dengan prestasi kerja paling tinggi.
Beliau menerima 11,125 undi daripada keseluruhan 24,370 pembaca daripada kedua-dua akhbar berkenaan yang mengambil bahagian dalam kajiselidik ini yang berjalan selama lebih kurang seminggu iaitu dari 26 Februari hingga 5 Mac lalu sempena ulang tahun pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Para pembaca diminta untuk memilih lima menteri yang mereka sangat berpuas hati dengan prestasi kerja.
Kedudukan Khairy di tangga pertama ada kaitan juga dengan ketibaan vaksin Covid-19 di Malaysia pada hujung Februari lalu dan peranan beliau selaku menteri kordinasi atau penyelaras program vaksin kebangsaan yang dikendalikan oleh satu pasukan khas.
Sejak itu, Khairy aktif berinteraksi dengan pelbagai kumpulan dan secara aktif juga menjawab pelbagai pertanyaan netizen di platform media sosial.
Malah, beliau menunjukkan respons positif dalam menangani isu memotong barisan dalam kalangan penerima vaksin yang menjadi perbualan hangat netizen baru-baru ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di kedudukan kelima dengan 6,367 undi.
Kaji selidik ini dianjurkan secara bersama oleh akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Daily sempena ulang tahun pertama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan maklum balas pembaca berhubung prestasi kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan Covid-19, pencapaian dalam pemulihan ekonomi, pencapaian dalam menangani masalah pendidikan sewaktu Covid-19 dan langkah-langkah ke hadapan ketika era pasca Covid-19.
Sejumlah 17,931 pembaca mengambil bahagian di platform Sinar Harian manakala 6,439 lagi pembaca mengambil bahagian di platform Sin Chew.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menduduki tangga kedua dengan 7,722 undi diikuti oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (7,261 undi) dan kemudian Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (6,728 undi).
Kaji selidik umum ini juga mendapati 38.43 peratus daripada responden berpuas hati dengan prestasi PN, manakala 61.57 peratus tidak berpuas hati.
Berhubung prestasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menerima purata skor 4.3 dengan 24,370 responden.
Sejumlah 9,308 pembaca yang mengambil bahagian berpendapat, kerajaan perlu mewujudkan perancangan jangka pendek, jangka tengah dan jangka panjang dalam usaha untuk memulihkan semula ekonomi.
Manakala 8,627 responden merasakan perlu adanya rombakan kabinet dengan menggantikan menteri-menteri yang tidak cemerlang.
Lain-lain dapatan utama daripada kajiselidik ini antara lain ialah;
• Diadakan sidang Parlimen semula untuk sesi soal-jawab (6,490 undi)
• Diadakan undi percaya/tidak percaya di Parlimen (6,276 undi)
• Batalkan darurat untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur asing (6,190 undi)
• Laksanakan PKP yang lebih ketat dengan menutup semua aktiviti ekonomi untuk menghentikan penularan Covid-19 dalam tempoh masa yang pendek (4,864 undi)
Ramai juga yang berpendapat mengadakan pilihan raya secepat mungkin sebagai sesuatu yang tidak perlu disegerakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Yang mana pilihan pembaca dalam soal PRU15...
DAP dan UMNO masih menjadi pilihan utama pembaca
PRU15: Ramai belum buat keputusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!