57 keluarga gembira dapat rumah

Sebahagian penghuni Taman Desa Tawakkal gembira dapat mendiami rumah sendiri pada tahun ini.
Sebahagian penghuni Taman Desa Tawakkal gembira dapat mendiami rumah sendiri pada tahun ini.
A
A
A

PENDANG - Seramai57 penerima rumah yang terdiri daripada golongan miskin tegar dan miskin (e-Kasih) menerima rumah masing-masing melalui Projek Pemajuan Kawasan Hujung Keton (PPK Hujung Keton) atau turut dinamakan sebagai Taman Desa Tawakkal di sini pada Selasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kos keseluruhan projek yang melibatkan pembinaan 57 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berkeluasan 663 kaki persegi sebuah itu adalah sebanyak RM11juta.

Menurutnya, skop projek merangkumi kerja tanah berkeluasan keseluruhan 3.16 hektar, kemudahan infrastruktur iaitu jalan dalam penempatan, bekalan air, bekalan elektrik, loji rawatan kumbahan dan gelanggang futsal.

“Pembinaan Taman Desa Tawakkal adalah Projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar.

“Selain itu, pembinaan taman ini bukan sahaja akan memajukan kawasan sekitar daerah Pendang, malah keselamatan penduduk juga akan lebih terjamin," katanya pada Majlis Perasmian Taman Desa Tawakkal (PPK Hujung Keton) di sini pada Selasa.

Antara 57 unit rumah di Taman Desa Tawakkal yang melibatkan kos sebanyak RM11 juta.
Antara 57 unit rumah di Taman Desa Tawakkal yang melibatkan kos sebanyak RM11 juta.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang merupakan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Abd Latiff berkata, Taman Desa Tawakkal adalah lambang kejayaan projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang dilaksanakan oleh KEDA dengan membangunkan penempatan baharu dilengkapi kemudahan asas dan kondusif kepada penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

“Ia bertepatan dengan misi KPLB yang berusaha memanfaatkan sepenuhnya sumber manusia dan ekonomi serta membangunkan kawasan luar bandar bagi mewujudkan persekitaran sosioekonomi yang lebih berdaya maju, sejajar dengan dasar-dasar pembangunan negara," katanya.

Menurutnya, projek berkenaan memberi manfaat kepada hampir 300 penduduk luar bandar yang tidak mampu memiliki rumah sendiri bagi menikmati kemudahan rumah yang lebih selesa.

“Penempatan secara berkelompok dalam satu kawasan dapat memudahkan penyaluran bantuan dan lain-lain kemudahan sosial bagi mencapai keharmonian dan perpaduan. Sebelum ini, pada 2004, sebanyak 50 unit rumah telah dibina melalui PPRT di sini.

“Sebenarnya projek pembangunan kampung ini telah dilaksanakan oleh KEDA sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK4),” katanya.

Taman Desa Tawakkal merupakan Projek Rancangan Malaysia Ke-11 yang bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar.
Taman Desa Tawakkal merupakan Projek Rancangan Malaysia Ke-11 yang bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 1,311 unit rumah telah didirikan di 14 buah Kampung Tradisional bagi membantu golongan miskin di luar bandar, manakala 3,738 unit rumah PPRT di 44 buah kampung di bawah Desa KEDA. Penerima manfaat daripada RMK4 hingga RMK9 untuk projek itu adalah seramai 22,775 orang.

“PPK merupakan satu projek membangunkan penempatan baharu atau menyusun semula kampung-kampung sedia ada secara terancang di kawasan luar bandar yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan ameniti sosial.

“Projek ini telah bermula daripada RMK9 yang dahulunya dikenali sebagai Projek Bersepadu Desa Terpencil (Prosdet) dan kemudian ditukarkan kepada Penempatan Semula Kampung (PSK),” katanya.

Pada program sama, Abd Latiff menyumbang bakul makanan kepada 107 buah keluarga di Desa KEDA Hujung Keton dan Taman Desa Tawakkal semasa sesi Ziarah Prihatin KEDA.

Abd Latiff (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima ketika majlis perasmian Projek Taman Desa Tawakkal PPK Hujung Keton pada Selasa.
Abd Latiff (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima ketika majlis perasmian Projek Taman Desa Tawakkal PPK Hujung Keton pada Selasa.

Bersyukur

Sementara itu, beberapa penerima turut berkongsi kegembiraan dan berterima kasih kepada KEDA yang merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Seorang penoreh getah, Mohd Nizan Abdul, 43, berkata, beliau bersyukur kerana dapat menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada keluarganya setelah empat tahun menumpang rumah abangnya di Kampung Namdam.

“Gembira yang tak terungkap. Saya tak tahu nak gambarkan perasaan saya kerana sudah lama kami sekeluarga idamkan untuk tinggal di rumah sendiri.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama KEDA yang banyak membantu penduduk kampung kurang berkemampuan seperti kami,” katanya yang mendiami rumah berkenaan bersama isteri dan empat orang anaknya.

Mohd Nizan (kanan) bersyukur kerana dapat memberi keselesaan kepada anak-anaknya selepas menerima rumah di Taman Desa Tawakkal pada Selasa.
Mohd Nizan (kanan) bersyukur kerana dapat memberi keselesaan kepada anak-anaknya selepas menerima rumah di Taman Desa Tawakkal pada Selasa.

Muhamad Faris Mat, 48, pula bersyukur kerana ALLAH SWT memakbulkan doanya untuk terpilih menerima rumah di bawah KEDA setelah menanti selama 15 tahun.

“Saya mula memohon rumah di bawah KEDA sejak 2006 tetapi belum ada rezeki saya ketika itu. Alhamdulillah, tahun ini saya benar-benar bersyukur setelah 16 tahun menyewa, saya akhirnya berpeluang untuk ada rumah sendiri.

“Rezeki saya juga dapat rumah lot tepi. Insya-ALLAH, tanah yang luas ini akan saya manfaatkan untuk bercucuk tanam bagi menambah pendapatan kami sekeluarga,” katanya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai lapan orang anak berusia antara 15 bulan hingga 19 tahun.

Muhamad Faris sekeluarga gembira dapat mendiami rumah sendiri selepas 16 tahun menyewa.
Muhamad Faris sekeluarga gembira dapat mendiami rumah sendiri selepas 16 tahun menyewa.

Seorang ibu tunggal, Norsyam Abdullah, 47, turut berkongsi rasa gembira dan teruja kerana tidak perlu lagi menumpang di rumah ibunya.

“Sebelum ini saya menumpang di rumah ibu selama 10 tahun bersama dua lagi anak. Apabila tiba hari raya atau kenduri, semua pakat balik kampung, jadi kurang selesa sikit.

“Alhamdulillah bila diberitahu terpilih untuk terima rumah ini, saya gembira sangat. Rezeki saya kerana sebagai ibu tunggal, jadi saya memang tidak mampu untuk membeli rumah dengan duit sendiri,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!