BlackBixon, redONE jalin kerjasama pasarkan kopi tenaga
KUALA LUMPUR - Syarikat perniagaan makanan dan minuman (F&B), BlackBixon Sdn Bhd (BlackBixon) milik Ni Hsin Resources Berhad (Ni Hsin) menjalinkan kerjasama dengan REDONE Network Sdn Bhd (redONE) untuk memasar dan menjual produk jenama kopi tenaga syarikat tersebut.
Pengarah Urusan BlackBixon, Khoo Chee Kong berkata, perjanjian kerjasama dengan syarikat pengendali rangkaian mudah alih itu bakal mengukuhkan usaha pemasaran dan capaian pelanggan produk syarikatnya itu melalui rangkaian pengguna yang dimiliki redONE.
“Kami melihat banyak sinergi akan dapat dicapai daripada segi bagaimana kami boleh mendapat manfaat daripada seramai 1.2 juta pelanggan redONE untuk memasarkan produk kami.
“Dengan model rangkaian terkini yang dimiliki oleh redONE, kami yakin bahawa pemasaran produk kami akan berlaku dengan lebih pantas berbanding penggunaan model pemasaran tradisional.
“Kerjasama ini juga menyediakan peluang yang terbaik buat syarikat kami untuk memasuki pasaran kopi dalam negara,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara BlackBixon dan redONE pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengerusi Ni Hsin Resource Berhad (Ni Hsin), Sofiyan Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus dan Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh.
Kopi jenama BlackBixon merupakan produk minuman tenaga dan kesihatan yang diperbuat daripada kombinasi bijih kopi jenis arabica dan bahan semula jadi Bioenergy Ribose yang telah dipatenkan penggunaannya.
Bagi melengkapi produk kopi tersebut, BlackBixon turut menawarkan jualan mesin kopi bagi membolehkan pengguna untuk menikmati produk syarikat itu di kediaman mereka mahupun di tempat kerja.
Sementara itu, Teh berkata, antara strategi pemasaran awal yang akan dilakukan syarikatnya dalam perjanjian tersebut adalah dengan melalui pemberian sebanyak 100,000 hidangan kopi BlackBixon percuma di 100 kedai jualan perdana redONE di seluruh negara.
“Hidangan kopi tersebut akan dinikmati oleh pengunjung kedai kami sementara menunggu untuk menyelesaikan urusan mereka.
“Di samping memberikan nilai tambah kepada pengalaman khidmat pelanggan di kedai kami, langkah tersebut juga akan secara langsung memperkenalkan kopi BlackBixon kepada pelanggan redONE,” katanya.
Sementara itu, Chee Kong yang merupakan pemegang saham utama Ni Hsin berkata, syarikat tersebut sudah pun menyusun perancangan yang berkaitan bagi mengembangkan lagi penglibatannya dalam perniagaan F&B.
Menurutnya, syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia itu menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pasaran awalnya bagi perniagaannya dalam sektor tersebut sebelum meneroka pasaran serantau.
Pada Julai tahun lepas, Ni Hsin yang merupakan syarikat pengeluar peralatan memasak mengumumkan langkahnya untuk mempelbagaikan perniagaannya dengan menceburi industri F&B.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!