Pendapatan bank di Malaysia dijangka bertambah baik pada 2021

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendapatan bank-bank di Malaysia dijangka bertambah baik pada 2021 berikutan pemulihan margin faedah bersih (NIM), namun prestasi keuntungan diunjur terus berdepan tekanan penyusutan caj yang masih ketara, demikian menurut RAM Rating Services (RAM Ratings).

Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching berkata, unjuran prestasi pendapatan itu didorong oleh kecenderungan aliran peningkatan trajektori NIM.

“Bagaimanapun, keuntungan bank-bank ini akan terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam landskap operasi,” katanya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Menurut Yin Ching, memandangkan kira-kira 13 peratus pinjaman bank di bawah bantuan bayaran balik/moratorium bersasar atau tertakluk kepada penstrukturan dan penjadualan semula, asas kualiti aset sebenar mereka masih belum dapat ditentukan setakat ini.

“Bank-bank ini telah meningkatkan penampan bagi menyerap kerugian pada 2020 dengan bertindak aktif menyediakan peruntukan sewajarnya apabila mengandaikan penyusutan lebih tinggi selepas langkah berkaitan ditarik balik.

“Purata nisbah kos kredit bagi lapan bank-bank tempatan terpilih juga meningkat hampir tiga kali ganda kepada 84 mata asas (bps) daripada 30 bps tahun ke tahun,” katanya.

Selain itu, Yin Ching berkata, NIM bank-bank juga telah terjejas secara ketara susulan pengurangan sehingga 125 bps dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun lepas yang dijejaskan lagi dengan pengubahsuaian caj dalam suku kedua 2020 (Q2 2020).

“Selepas susut kepada 1.83 peratus pada Q2 2020, purata NIM bagi lapan bank tersebut kembali meningkat secara kukuh pada dua suku berikutnya yang didorong oleh ketiadaan kerugian modifikasi ketara serta penyusutan berkaitan deposit.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun NIM mereka pada 2.14 peratus (diselaras bagi perbelanjaan modifikasi/perubahan) untuk tahun penuh, kekal di bawah aliran purata 2.20 peratus- 2.30 peratus sejak lima tahun lepas,” katanya.

Menurut Yin Ching, walaupun pendapatan dagangan bon lebih memberangsangkan dan kos pengurusan lebih terkawal yang memberi suntikan positif, namun lapan bank terbabit telah melaporkan pulangan aset sebelum cukai yang lebih rendah pada 0.92 peratus tahun ke tahun pada 2020 daripada 1.36 peratus pada 2019.

Bank terbabit juga melaporkan pulangan ekuiti lebih rendah sebanyak 8.7 peratus pada 2020 berbanding 13.2 peratus sebelum ini, kata beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!